Tuesday 23 August 2016

'Tanpa Dr M, Proton tetap memacu ke hadapan'

Proton Holdings Bhd. (Proton) terus memacu ke hadapan bagi menambah baik operasi syarikat semenjak Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan kerusi pengerusi firma berkenaan lima bulan yang lalu.

Pengganti Mahathir, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata, status Proton sebagai jenama kereta nasional tidak terjejas walaupun selepas ketiadaan bekas perdana menteri itu.

"Saya rasa personaliti untuk jawatan pengerusi datang dan pergi. Jadi, dari segi Proton sebagai jenama kereta nasional, ia akan kekal begitu.

"Kami akan terus mengeluarkan, mereka bentuk kereta dan meninjau aspek penyelidikan dan pembangunan," kata Syed Faisal Albar selepas majlis pelancaran model terbaru Proton, generasi kedua Proton Persona.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai status semasa Proton dan pelan masa depan di bawah kepimpinan baru susulan peletakan jawatan Mahathir pada 31 Mac.

"Kami mempunyai pengurusan baru, pasukan pengurus baru yang datang.

"Kami juga mempunyai Kumpulan DRB-Hicom sebagai pemegang saham, Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom," jelas Syed Faisal Albar yang dilantik bagi menggantikan Mahathir pada bulan Mei.

Graduan universiti berkenaan mempunyai kemahiran formal yang ditetapkan untuk membawa perbezaan dalam Proton di semua peringkat operasi, katanya.

Untuk memastikan sokongan pasaran yang berterusan, ujar Syed Faisal Albar, Proton akan memperhalusi butiran penawarannya termasuk melancarkan aplikasi mudah alih bagi membolehkan para pelanggan mengadakan janji temu dengan pusat perkhidmatan.

"Terdapat banyak faktor yang dilaksanakan dan sudah tentu dengan bantuan pinjaman kerajaan, kita akan terus meningkatkan operasi secara keseluruhan," katanya.

Menurut Syed Faisal Albar lagi, Proton menyasarkan jualan antara 3,000 dan 4,000 unit sebulan untuk model terbarunya dalam usaha untuk menjana pulang modal dalam tempoh dua tahun akan datang.

- MK

No comments: