Wednesday 24 August 2016

Remaja perempuan ditarik ke dalam Perodua putih, dipercayai culik

kidnap
KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan dipercayai diculik 2 lelaki di persimpangan Jalan AU 5C/7, Taman Lembah Keramat di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Hamzah Alias berkata remaja berumur lingkungan 15 tahun itu yang memakai seluar jeans dan bertudung merah dikatakan ditarik ke dalam sebuah kereta Perodua berwarna putih.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan kejadian itu daripada penduduk setempat yang menyaksikan kejadian tersebut kira-kira 9.50 pagi.

“Kita masih menyiasat kejadian ini sama ada ia bermotifkan culik atau sebaliknya. Ini kerana kita belum terima sebarang laporan mengenai kehilangan
ahli keluarga dari mana-mana pihak,” katanya.

Seorang penduduk Samsiah Osman, 74, beliau sedang membersihkan halaman rumahnya apabila terdengar jeritan seorang remaja perempuan meminta tolong.

“Waktu itu saya berada di halaman rumah saya apabila sebuah kereta putih dipercayai jenis Produa Myvi atau Viva berhenti secara tiba-tiba di tepi rumah saya.

“Selepas itu tiba-tiba saya dengar seorang budak perempuan berumur lingkungan 15 tahun yang memakai tudung merah menjerit meminta tolong apabila dia ditarik masuk ke bahagian tempat duduk belakang kereta itu oleh seorang lelaki,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata terdapat 2 lelaki di dalam kereta itu termasuk pemandunya.

“Apabila saya hendak keluar untuk melihat dengan lebih jelas, kereta warna putih itu telah memecut laju,” kata Samsiah.

Seorang lagi penduduk Othman Mohamad, 32, berkata kereta itu dipercayai masuk ke kawasan taman berkenaan melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Kereta itu berkemungkinan datang dari arah MRR2 kerana tempat kejadian berhampiran dengan jalan utama dan kereka itu menuju ke arah lorong kawasan perumahan di situ.

Katanya jalan di kawasan itu agak lengang dan sunyi kerana kebanyakan penduduk keluar bekerja.

- Bernama

No comments: