Tuesday, 23 August 2016

Saya isytihar harta tak pernah diugut penjenayah, kata Rafizi

Pengisytiharan harta oleh seseorang pemimpin tidak menjadikan keluarga mereka sasaran penjenayah, kata Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Sebaliknya beliau berkata tindakan tersebut dapat membantu wakil rakyat menjalani kehidupan yang lebih aman dan selamat.

Naib presiden PKR itu berkata, beliau sendiri menerima lebih banyak sumbangan daripada orang ramai yang memahami beban kerjanya selepas mengiystiharkan harta.

“Dari masa ke semasa ada sahaja orang biasa yang datang ke pusat khidmat untuk menderma kerana mereka simpati dengan kedudukan kewangan saya dan keluarga.

“Saya jarang mendapat permohonan tajaan kerana semua orang tahu saya tidak berduit,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.

Rafizi berkata beliau dan keluarganya juga tidak pernah diugut atau menerima ancaman penjenayah.

“Saya tidak pernah diugut atau sesiapa dari keluarga saya menerima ancaman kerana penjenayah tahu saya tidak berduit,” kata Rafizi.

Justeru, setiausaha agung PKR itu berkata adalah tidak wajar untuk Menteri Wilayah dan Persekutan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberikan alasan bahawa nyawa keluarganya akan terancam sekiranya mengisytiharkan hartanya.

“Alasan yang diberikan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengenai risiko keselamatan adalah tidak masuk akal.

“Sebenarnya beliau takut dengan rakyat kerana beliau tidak berani untuk memperincikan harta dan sumbernya seperti yang saya buat tahun lalu,” kata Rafizi.

Baru-baru ini, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno berkata, beliau tidak akan membuat pengisytiharan harta kepada umum kerana bimbang keluarganya menjadi sasaran penjenayah.

Bekas ahli perniagaan itu berkata, ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika aset dimilikinya diumumkan secara terbuka. Antara risiko yang dibimbangi Tengku Adnan ialah kemungkinan isteri atau anaknya akan menjadi sasaran penculik.

- MK
Post a Comment