Wednesday, 24 August 2016

'Tak, tak, tak', kata Pak Lah mengenai lantikan Muhyiddin

Bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hanya berkata 'tidak, tidak, tidak' ketika diminta mengulas pendedahan Tun Musa Hitam, baru-baru ini.

Dalam buku bertajuk 'Frankly Speaking', Musa mendedahkan Abdullah mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai timbalan perdana menteri sebagai syarat untuk dirinya melepaskan jawatan nombor satu.

"No, no, no," kata Abddulah yang lebih mesra dipanggil Pak Lah sebelum diiringi oleh para pengawal peribadinya keluar dari tempat persidangan.

Pak Lah berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Kebangsaan Ekonomi dan Kewangan Islam ke-3 bagi tahun 2016 di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam bukunya itu, pelantikan Muhyiddin sebagai orang nombor dua adalah antara syarat-syarat Abdullah sebelum beliau menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Najib Razak, kata Musa.

Najib dan Muhyiddin bergandingan menerajui negara dari tahun 2009 hingga 2015.

Tahun lalu, Najib menggugurkan Muhyiddin dalam rombakan kabinet ekoran kritikan lantang timbalannya terhadap 1MDB.

Muhyiddin kemudiannya dipecat daripada Umno, dan kini bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi menentang Najib dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum pemecatannya, Muhyiddin berulang-kali mempersoalkan mengapa Umno bertindak terhadapnya kerana menentang Najib tetapi tidak berbuat apa-apa apabila beliau bertindak ke atas Abdullah.

Abdullah meletakkan jawatan pada tahun 2009 berikutan tekanan dari Umno akibat prestasi hambar BN pada pilihan raya umum 2008 dengan pembangkang menafikan BN majoriti dua pertiga di Parlimen.

BN juga hilang lima negeri pada pilihan raya itu.

Terdahulu, Abdullah menghadiri Persidangan Kebangsaan Ekonomi dan Kewangan Islam ke-3 2016 yang bertemakan 'Usaha Memperkasakan Kewangan Sosial Islam'.

Persidangan yang berlangsung selama satu hari itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

Persidangan yang mendapat kerjasama antara institusi akademik dan Majlis Agama Islam Negeri diharap dapat memberi impak positif kepada umat Islam demi kelestarian hidup.

- MK
Post a Comment