Wednesday 31 August 2016

Dulu Malaysia aman, kini bencana, kata Muhyiddin

muhyiddin,malaysia
PETALING JAYA: Sebelum ini Malaysia terkenal sebagai model negara membangun yang aman, stabil dan maju tetapi kini berdepan bencana, kata bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata apa yang rakyat mahukan sekarang ialah kenaikan harga barangan keperluan harian dibendung, pekerjaan berpendapatan mencukupi dan setimpal dengan kenaikan kos sara hidup serta peluang pekerjaan baharu diwujudkan.
Sehubungan itu, katanya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik perlu bersama-sama menyelamatkan negara daripada kemusnahan dan kegagalan yang akan menjejaskan kehidupan.
“Tatkala rakyat sedang dihimpit masalah kehidupan yang semakin rumit, khazanah negara tidak diurus dengan telus. Salah guna kuasa dan penyelewengan berleluasa. Aset dan wang negara dicuri dan dibelanjakan secara boros.
“Malah, perdana menteri yang diamanahkan menjaga khazanah negara dan membela kebajikan rakyat mencuri duit rakyat tanpa rasa bersalah walau sedikit pun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhyiddin berkata situasi pada hari ini amat mengecewakan rakyat dan ia bukanlah sesuatu yang didambakan rakyat.
“Rakyat mahu gejala rasuah diperangi habis-habisan, kemiskinan dihapuskan, kualiti pendidikan ditambah baik, kebebasan rakyat dipelihara, mereka mahukan sebuah kerajaan yang jujur, amanah dan berintegriti,” katanya.
Katanya, beliau bimbang jika keadaan ini berterusan Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal dengan khazanah negara dirompak dan segala institusi kerajaan tidak lagi dapat berfungsi dengan baik.
“Ini bencana besar yang kita tidak pernah terfikir akan menimpa Malaysia. Sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka dan cintakan negara, kita mahu Malaysia bangkit semula menjadi negara bermaruah dan dihormati dunia,” katanya.
Pada 9 Ogos lalu, Muhyiddin menyerahkan pendaftaran parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Ibu pejabat Pendaftar Pertubuhan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut lantang mengkritik Datuk Seri Najib Razak dalam isu perbelanjaan syarikat pelaburan kerajaan 1MDB dan isu wang derma RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
- FMT

No comments: