Wednesday, 24 August 2016

Kalau enggan bersatu, serupa sokong Najib, kata Dr M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan kepentingan parti pembangkang untuk bersatu menentang Barisan Nasional (BN), dan berkata keengganan berbuat demikian bermakna mereka membantu Datuk Seri Najib Razak.
“(Jika) pakatan pembangkang lawan sesama sendiri, mereka akan kalah. Sikap itu bermakna mereka sokong pemerintahan BN di bawah Datuk Seri Najib Razak,” kata bekas perdana menteri itu selepas menyampaikan syarahannya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata parti itu bersedia berbincang dengan mana-mana parti, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang bakal didaftarkan, kecuali DAP dan Amanah.
Sementara itu, Dr Mahathir turut ditanya dakwaan bekas timbalan menteri dalam negeri ketika pemerintahannya menandatangani arahan penahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana hanya menurut arahannya.
Datuk Megat Fairouz Junaidi, anak Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, yang menjadi timbalan Dr Mahathir yang turut memegang jawatan menteri dalam negeri, semalam berkata bapanya menandatangani arahan penahanan ISA kerana diarahkan Dr Mahathir sendiri.
“Saya tidak tahu, tak pernah dengar. Ini (dakwaan baru). Mungkin dia (sebagai anak) lebih tahu daripada saya,” kata Dr Mahathir.
- FMT


Post a Comment