Tuesday, 23 August 2016

Zahid tiba di New York sempena lawatan ke Amerika

zahid-hamidi
NEW YORK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini pada Isnin (22 Ogos) untuk lawatan kerja lima hari ke Amerika Syarikat.

Bersempena dengan lawatannya itu, Zahid yang juga menteri dalam negeri akan mempengerusikan perbahasan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Selasa.

Perbahasan itu mengenai ‘Cabaran Dalam Mendepani Percambahan Senjata Pemusnah Besar-besaran dan Kaedah Penghantaran, Bahan Berkaitan, Peralatan dan Teknologi Kepada Pelaku Bukan Negara’.

Zahid akan berada di New York dari 22 hingga 26 Ogos.

Majlis Keselamatan terdiri daripada 15 anggota dengan kuasa besar termasuk Rusia, United Kingdom, Perancis, China dan Amerika Syarikat, yang menjadi lima anggota tetap badan itu.

Majlis Keselamatan juga mempunyai 10 anggota tidak tetap termasuk Malaysia yang dipilih secara serantau untuk tempoh dua tahun.

Kepimpinan UNSC digilirkan dalam kalangan lima anggota tetap dan 10 anggota tidak tetap mengikut abjad.

Malaysia dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan untuk mandat dua tahun bermula 1 Januari tahun lepas dan akan berakhir 31 Disember ini.

Jawatan presiden Majlis itu disandang setiap anggota seterusnya selama sebulan dan Malaysia menyandang jawatan UNSC yang digilirkan itu bagi bulan ini.

Ketibaan Zahid di sebuah hotel di sini disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan para pegawai Malaysia yang lain.

Ini merupakan lawatan rasmi ketiga Zahid ke Amerika Syarikat sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Julai tahun lepas.

- Bernama

No comments: