Monday 29 August 2016

Ya, saya kongsi pentas pembangkang, Anifah jawab Shafie

anitah-syafie
KIMANIS: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakannya berkongsi pentas dengan pembangkang untuk menyelidik Perjanjian Malaysia 1963 disalahtafsir bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Salah tafsir itu berlaku ketika beliau Shafie menyampaikan beberapa ceramah di Sabah bulan lepas.

Malah, Anifah berkata penglibatannya dalam beberapa program dengan pembangkang itu pada tahun lepas juga dipersoalkan sehinggakan tindakan disiplin dari Umno tidak pula diambil terhadapnya kerana berbuat demikian.

Beliau mengaku terlibat dalam program itu, tetapi bukan atas kepentingan dirinya sendiri dan penglibatannya itu turut beliau maklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Benar, saya sepentas dengan pembangkang. Tetapi saya mahu orang-orang Sabah tahu, tidak ada yang lebih utama dalam prinsip perjuangan saya melainkan hak dan kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya pada Persidangan Perwakilan Umno Kimanis di Dewan Membakut sini semalam.

Anifah, yang juga Ketua Umno Bahagian Kimanis, berkata beliau pernah menjemput Shafie untuk turut serta menyelidik Perjanjian Malaysia 1963, tetapi ditolak.

“Padahal, ia (penyelidikan Perjanjian Malaysia 1963) jelas untuk memperjuangkan hak orang Sabah, tetapi beliau (Shafie) berkeras tidak mahu turut serta.

“Malah, beliau (Shafie) marah saya kerana saya sepentas dengan pembangkang,” katanya.

Anifah berkata beliau kesal dakwaan Shafie mengenai permohonan peruntukan untuk membangunkan infrastruktur di Kimanis ketika Shafie menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Menurutnya, Shafie mendakwa dalam ceramahnya bahawa Anifah, yang juga ahli Parlimen Kimanis, memohon jumlah yang sikit untuk pembangunan infrastruktur di kawasan itu.

“Saya minta RM50 juta, tetapi beliau kata saya ada pergi ke pejabatnya untuk minta RM500,000. Ini cukup menghina rakyat di Kimanis, cukup menghina rakyat di Sabah.

“Apa sahaja yang boleh kita buat dengan RM500,000 sedangkan beliau ada bajet RM15 bilion ketika di KKLW,” katanya.

Pada persidangan itu, Umno Kimanis sebulat suara menyokong usul memberi sokongan penuh kepada Najib sebagai pemimpin parti dan kerajaan.

Umno bahagian itu juga menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

- Bernama

No comments: