Thursday 25 August 2016

Zaid gesa Amanah bertanding di semua kerusi PAS

zaid-ibrahim-amanah-pas-1
PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menggesa Amanah supaya menggunakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai alat untuk memenangi hati orang Melayu di kawasan luar bandar.

Katanya, Amanah berpotensi mempengaruhi undi orang Melayu di kawasan luar bandar, terutama di kawasan pilihan raya yang kini dipegang oleh PAS.

“Saya rasa Amanah perlu bertanding di semua kerusi PAS. Hanya isu 1MDB yang boleh mempengaruhi mereka, jika tidak, tiada isu lain yang boleh memandangkan tidak ada isu yang lebih besar daripada itu,” katanya dalam satu forum mengenai skandal 1MDB di sini, semalam.

Beliau mendakwa, penyokong PAS terutamanya di Kelantan turut menyokong Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain Zaid, turut hadir berucap di forum semalam ialah bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan bekas setiausaha politik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang.

Matthias dan Husam baru-baru ini memfailkan saman secara berkumpulan di Amerika Syarikat terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB.

Dalam pada itu, Husam pula berkata beliau lebih prihatin untuk menyelamatkan negara daripada memburu individu yang bertanggungjawab ke atas skandal 1MDB.

“Najib harus menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja dan salah satu syarat suruhanjaya tersebut adalah Najib diberi pengampunan. Ini kerana apa yang penting sekarang ialah isu 1MDB diselesaikan secara sepenuhnya dan bukan untuk menghukum Najib terhadap apa sahaja yang mungkin dilakukannya,” katanya.

Chang pula berpendapat, selagi wang dan diri sendiri diutamakan berbanding agama, moral dan prinsip, maka negara ini akan terus menyaksikan rasuah dan pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Sama ada anda adalah orang Islam, Kristian, Buddha atau Hindu, tanggungjawab pertama anda adalah kepada Tuhan dan ke arah menegakkan keadilan,” katanya.

“Anda tidak boleh menepuk dada kononnya beriman kepada Tuhan tetapi pada masa yang sama tidak berlaku adil.

“Umno sudah sebati dengan politik wang kerana orang-orang yang terlibat dalam parti terlalu sibuk mengejar wang sehingga tidak mempunyai masa serta kesedaran berfikir apa yang betul dan apa yang salah,” katanya.

Menurut laporan berita pada 17 Ogos, Zaid memohon perintah mahkamah memaksa Najib mengembalikan RM2.6 bilion kepada 1MDB dan RM42 juta yang dikatakan dari SRC International Sdn Bhd kepada kerajaan, bersama-sama dua peratus faedah ke atas jumlah ini.

SRC International merupakan anak syarikat 1MDB, tetapi kemudiannya telah diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Keempat-empat defendan dalam saman itu ialah Najib, 1MDB, Kerajaan Malaysia dan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz.

Zaid juga dilapor meminta mahkamah memerintahkan Riza memulangkan semua wang yang dia didakwa diterima daripada 1MDB, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dan memindahkan harta yang dibeli kepada syarikat itu.

Chang dan Husam memfailkan saman mereka pada 13 Ogos menuntut ganti rugi atas salah guna wang dana 1MDB dan aset yang diperoleh menggunakan dana tersebut.

Antara yang mereka dinamakan sebagai defendan ialah Riza, jutawan Jho Low, Red Granite dan Goldman Sachs Group.

- FMT

No comments: