Wednesday 24 August 2016

'MCA masih lagi relevan, belum terkubur'

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon melahirkan rasa kesal dengan kenyataan melampau oleh bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau lebih terkenal dengan panggilan Zam bahawa parti itu sudah terkubur.

Sebaliknya, kata Chong yang juga timbalan menteri pendidikan, kritikan Zam tidak akan menjejaskan MCA malah akan terus menguatkan semangat untuk terus bekerja keras demi rakyat dan kesejahteraan negara.

"Saya rasa simpati terhadap beliau kerana terpaksa meluahkan kenyataan-kenyataan karut untuk mendapat publisiti dari media.

"Walaupun MCA telah menghadapi pelbagai cabaran sejak pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008, MCA tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk mempertahankan kepentingan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

"MCA tidak akan lagi merenung pada kekalahan masa lalu, tetapi akan terus memandang ke hadapan," kata beliau dalam kenyataan.

Dalam blognya, Zam menulis, Umno masih buta atau berada dalam denial syndrom seperti pemimpin besarnya bahawa sebenarnya MCA,GERAKAN dan MIC sudah hancur lebur berkarat dan hanya menunggu masa untuk dirasmikan pengkuburannya pada pilihanraya umum akan datang.

"Kehadiran ramai perwakilan dalam perhimpunan agong tidak bererti pemulihan sokongan orang Cina kepada MCA," tambah Zam.

Ujarnya lagi, MCA lebih menjadi duri dalam daging dalam Perikatan dan BN kerana perkauman Cinanya yang terserlah bila UMNO berada dalam keadaan lemah.

Mengulas lanjut, Chong berkata, MCA sentiasa percaya bahawa prinsip kesederhanaan adalah kunci utama untuk menjaga kepentingan-kepentingan semua kaum.

"Keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang diadakan pada bulan Jun tahun ini juga menunjukkan bahawa masyarakat Cina kini kembali menyokong MCA dan BN.

"Ini membuktikan bahawa konsep kederhanaan yang diamalkan kami adalah apa yang diinginkan masyarakat Malaysia," jelasnya.

Justeru, tambah Chong, MCA tidak akan leka dan akan terus berusaha untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada BN.


- MK

No comments: