Monday, 29 August 2016

Ada 279 halaman dalam pendrive, kata Khairy

khairy-jamaluddin
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau memerlukan masa untuk membaca semua dokumen yang terkandung dalam pendrive yang diserahkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, beliau hanya mula membaca secara terperinci kandungannya malam tadi dan mengakui tidak boleh menghabiskannya dalam masa satu malam.

Pendrive itu didakwa mengandungi maklumat mengenai ketirisan dan salah laku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Ada 279 halaman mengenai laporan itu dalam pemacu pena tersebut. Ia diberikan kepada saya pada Jumaat. Saya mempunyai sedikit waktu lapang pada Sabtu dan Ahad tetapi masih terlibat dalam beberapa program seperti FitMalaysia pada Sabtu dan satu lagi acara pada sebelah petang.

“Saya hanya dapat membacanya malam tadi. Anda perlu beri saya sedikit masa untuk membaca semua dokumen itu. (Selepas itu) Saya akan maklumkan kepada anda langkah seterusnya,” kata Khairy.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan lain mengenai pemacu pena itu.

Terdahulu, Khairy melancarkan acara separuh maraton HSN21KM tajaan Proton Holdings Berhad yang akan menjadi acara utama sambutan Hari Sukan Negara pada 8 Oktober ini di Dataran Merdeka, di kementeriannya.

Menurut laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menyerahkan pendrive yang didakwa mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku FAM kepada Khairy.

Tunku Ismail memutuskan untuk menyerahkan pendrive berkenaan kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM, selain mahu memberi tumpuan kepada kelabnya.

- Bernama
Post a Comment