Tuesday, 23 August 2016

Presiden Republik Singapura ke-6 SR Nathan meninggal dunia

s-r-nathan
PETALING JAYA: Dikenali sebagai seorang yang berani pertaruhkan nyawa demi membebaskan tebusan pengganas, Presiden Republik Singapura ke-6 Sellapan Ramanathan (SR Nathan) meninggal dunia hari ini pada usia 92 tahun.

Beliau yang merupakan presiden paling lama berkhidmat meninggal dunia secara aman di Hospital Besar Singapura 9.48 malam tadi, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Singapura.

“Perdana Menteri dan rakan-rakan Jemaah Menteri berduka cita dengan berita mengenai pemergian Encik S R Nathan dan mengutuskan takziah pada keluarga mendiang.”

Nathan memegang jawatan presiden mulai 1999 hingga 2011, dan merupakan ketua negara Singapura etnik Tamil yang pertama.

Lahir di Singapura pada 3 Julai 1924, Nathan menghabiskan zaman kanak-kanaknya membesar di Muar dan kembali ke Singapura selepas pemergian bapanya ketika beliau berumur 8 tahun.

Selepas melalui zaman Perang Dunia Kedua dan menamatkan pengajian di Universiti Malaya (Singapura) dengan Diploma Pengajian Sosial, Nathan memulakan kerjaya hidupnya di Perkhidmatan Awam Singapura sebagai seorang pekerja sosial.

Kemuncak sejarah hidupnya menyaksikan Nathan berkhidmat sebagai Pengarah Divisyen Keselamatan dan Perisikan (SID) pada 1971. Pada Januari 1974, beliau mengetuai kumpulan rundingan menangani krisis tebusan Laju, dan antara pegawai kerajaan yang menawarkan diri menjadi tebusan pengganas Askar Merah Jepun (JRA) demi membebaskan tebusan awam.

Nathan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat dalam Unit Rawatan Rapi sejak 31 Julai, selepas diserang strok kali kedua dalam masa dua tahun.

Mendiang meninggalkan seorang isteri Urmila Nandi, seorang anak perempuan, seorang anak lelaki dan tiga cucu.

- FMT

No comments: