Monday 29 August 2016

Mahkamah Rayuan batal larangan terhadap barangan Bersih 4

Bersih-4,-Bersih-2.0,-T-Shirts,-Maria-Chin
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan larangan terhadap bahan Bersih 4 termasuk kemeja T, oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Panel itu diketuai Hakim Datuk Zawawi Salleh dalam keputusannya hari ini berkata arahan dikeluarkan menteri itu tidak munasabah.

“Berdasarkan kepada afidavit menteri, insiden seperti ‘memijak gambar pemimpin’ dan ‘agihan untuk sambutan Merdeka’, hanya dibuat selepas arahan itu diwartakan pada 24 Ogos tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, hakim mendengar hujahan daripada peguam Edmund Bon bagi pihak jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili KDN.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Asmabi Mohamad, membenarkan rayuan Bersih 2.0 dan membatalkan keputusan menteri dalam negeri.

“Maka, keputusan menteri itu tidak ada kesan,” kata Zawawi.

Tiada perintah kos dibuat.

Zawawi berkata hakim Rahman akan menyediakan penghakiman bertulisan panel berkenaan.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, bendahari Masjaliza Hamzah dan Nadiah Fadwa Fikri memfailkan semakan kehakiman tahun lalu, mencabar menteri dalam negeri dan kerajaan berhubung sekatan terhadap barangan kelengkapan Bersih 4.

Larangan itu, berkuat kuasa dari Ogos tahun lalu, dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Seksyen itu menyatakan apa-apa yang digambarkan dalam Jadual dilarang sama sekali di seluruh Malaysia, jika mereka akan memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, kepentingan negara dan bertentangan dengan mana-mana undang-undang.

Jadual itu merujuk kepada percetakan, pengimportan, pengeluaran, pengeluaran semula, penerbitan, jualan, edaran, agihan atau pemilikan percetakan.

Mahkamah Tinggi pada Februari tahun ini menolak cabaran Bersih 2.0 terhadap keputusan KDN untuk mengharamkan barangan Bersih 4.

Mahkamah dalam keputusannya berkata menteri, ketika mengeluarkan larangan itu melaksanakan budi bicaranya.

Perhimpunan Bersih 4 diadakan tahun lalu selama 2 hari, dari 29 hingga 30 Ogos di sekitar Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, di Kota Kinabalu dan Kuching serta 70 bandar di seluruh dunia.

- FMT

No comments: