Monday 29 August 2016

Saiz bukan ukuran di kala rakyat lesu, kata penganjur protes ‘tangkap’

anis-tangkapmo1
KUALA LUMPUR: Aktivis muda Anis Syafiqah Md Yusof berkata protes #TangkapMO1 Sabtu lalu tidak diukur melalui saiz penyertaan, tetapi apa yang penting ialah mesej yang ingin disampaikan.

“Bagi saya jumlah yang ada sudah cukup memberangsangkan dalam keadaan rakyat letih mengambil tahu tentang politik dan isu negara,” katanya kepada FMT semalam, sehari selepas memimpin lebih 2,000 orang berhimpun di Kuala Lumpur bagi menuntut kerajaan menyiasat orang yang diberi nama “Malaysian Official 1” (MO1) dalam dakwaan salah laku berbilion dolar melibatkan 1MDB.

Anis berkata beliau berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan peserta di kala rakyat kelihatan tidak bersuara walaupun selepas dokumen 130 muka surat yang diterbitkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bulan lalu menamakan beberapa watak yang dekat dengan pimpinan negara.

“Bagi kami walaupun bilangan peserta tidak sebanyak himpunan Bersih, tetapi sekurang-kurangnya kami sudah mencetuskan kebangkitan semula rakyat Malaysia yang lama lesu tentang kesedaran kepentingan isu-isu negara,” kata Anis, yang merupakan suara paling lantang penganjur #TangkapMO1 Sabtu lalu.

Kebanyakan peserta terdiri daripada kumpulan pelajar universiti, yang turut serta walaupun pihak pengurusan beberapa pusat pengajian tinggi memberi amaran tindakan akan diambil.

Selain saiznya, perhimpunan #TangkapMO1 itu turut berbeza daripada Bersih 4 yang diadakan genap setahun lalu, dari segi komposisi kaum.

Tahun lalu, beberapa pihak mendakwa Bersih 4 disertai majoriti kaum Cina, manakala kali ini #TangkapMO1 mendapat penyertaan ramai belia Melayu.

“Tidak ada masalah rasis dan sebagainya, sebab memang semua rakyat Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India ada satu kesedaran yang mahukan perubahan,” kata Anis.

“Sekurang-kurangnya tidak, dapat desak pihak berkuasa ambil tindakan selepas himpunan aman ini, kita dapat berikan kesedaran untuk mereka bangkit,” katanya.

Bekas pensyarah undang-undang Dr Abdul Aziz Bari turut bersetuju saiz tidak menjadi keutamaan dalam menilai kejayaan himpunan #TangkapMO1 kerana ia dianjurkan anak muda daripada kumpulan pelajar.

“Mungkin organisasinya kecil tak sebesar himpunan Bersih.

“Tetapi himpunan untuk anak muda sudah memadai. Maknanya tak semestinya gagal,” katanya.

Aziz berkata pihak penganjur juga cermat tidak menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara terang-terangan pada himpunan itu.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi mengaitkan rujukan MO1 kepada Najib, walaupun ia tidak dinafikan secara jelas.

“Respon diberikan pihak berkuasa juga baik disebabkan mereka (penganjur) tidak mengatakan MO1 itu Datuk Seri Najib Razak.

“Sebaliknya hanya mendesak individu MO1 itu ditangkap dan disabitkan kesalahan,” katanya.

- FMT

No comments: