Friday 30 September 2016

Agong tiada kuasa pecat PM, kata bekas peguam negara

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
KUALA LUMPUR: Perdana menteri tidak boleh dilucutkan oleh Agong, sebaliknya ia perlu melalui proses Parlimen yang sedia ada atau keputusan mahkamah, menurut bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman.
“Sama ada perdana menteri kekal atau tidak diputuskan majoriti wakil rakyat,” katanya kepada FMT, menjawab tafsiran perlembagaan peguam Haniff Khatri Abdulla baru-baru ini.
Dua hari lalu. Haniff, peguam kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kuasa Agong untuk melantik PM “termasuk kuasa untuk pecat”.
Kenyataan Haniff itu sebelum ini turut disanggah Datuk Seri Nazri Aziz yang pernah memegang portfolio menteri undang-undang.
Nazri berkata Agong hanya boleh memecat PM sekiranya hilang sokongan majoriti di Parlimen.
Abu Talib berkata undi tidak percaya perlu diadakan di Parlimen bagi tujuan menyingkir PM.
Menurutnya, PM juga boleh disingkir sekiranya majoriti ahli Parlimen memaklumkan kepada Agong mereka tidak lagi menyokong kepimpinan PM.
“Ini merupakan prinsip perundangan yang digunakan Mahkamah Persekutuan dalam kes Perak pada 2010, susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat,” kata Abu Talib.
Haniff sebelum ini berhujah, walaupun Perkara 40 (2) (a) dalam Perlembagaan tidak menyebut kuasa Agong melucutkan PM, Perkara 29 Jadual 11 pula menyebut mana-mana pihak yang diberikan kuasa melantik juga mempunyai kuasa memecat atau menggantung.
Katanya, jadual tersebut perlu dibacakan bersama-sama perlembagaan.
Abu Talib bagaimanapun berkata ia tidak boleh dijadikan asas melucutkan ketua eksekutif kerajaan.
Tambahnya, jadual yang dirujuk Haniff itu hanya terpakai dalam melucutkan ahli kabinet memandangkan mereka dilantik atas nasihat PM.
- FMT

No comments: