Monday 19 September 2016

Majlis Tertinggi Umno akan bincang cadangan persempadanan SPR

ku-nan-spr-umno-1
ARAU: Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan diteliti oleh anggota Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 23 September adalah antara perkara yang akan diberi perhatian oleh UMNO menjelang pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata usul itu akan turut dibawa pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 30 Sept.

Katanya sebarang syor atau bantahan yang diputuskan hasil penelitian tersebut kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab memutuskan perkara berkenaan.

“Pilihan raya berkait tentang bilangan dan kawasan di mana jumlah kerusi mempengaruhi keutuhan sesebuah kerajaan memerintah, jadi proses ini (persempadanan semula) antara yang boleh memberi impak kepada perkara itu dan ia wajar diambil perhatian oleh parti,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Arau di Dewan Kolej Matrikulasi Arau di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula Khamis lepas (15 September).

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Menurut Abdul Ghani SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula 15 Sept hingga 14 Okt.

Terdahulu dalam ucapannya Tengku Adnan berkata UMNO turut perlu mempergiat jentera dalam meneliti senarai daftar pemilih di setiap bahagian dan cawangan sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum akan datang.

- Bernama

No comments: