Monday 19 September 2016

Bukan ‘tipu’, Nazri pertahan persempadanan semula SPR

nazri-bn-1
JELEBU: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz menolak tuduhan pembangkang yang persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertujuan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Nazri mendakwa ia bagi memastikan ahli Parlimen di kedua belah pihak dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada pengundi di kawasan mereka.

“Sistem pilihan raya kita bukan bermaksud mewakili pengundi di Parlimen, tetapi juga memastikan ahli Parlimen berkhidmat kepada rakyat.

“Itu sebabnya sesetengah kawasan besar tetapi ia mempunyai hanya 30,000 pengundi berdaftar.

“Ia semata-mata bagi memastikan ahli Parlimen dapat berkhidmat setiap hari kepada rakyat,” Nazri memberitahu FMT.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan mempersoalkan persempadanan semula diumumkan SPR pada Khamis lalu, dan mendakwa ia merupakan usaha mencuri keputusan pilihan raya umum depan.

Cadangan SPR itu melibatkan 128 kawasan Parlimen. Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kumpulan sekurang-kurangnya 100 orang boleh membuat bantahan sehingga 15 Oktober.

Pengarah Pilihan Raya PKR Nurul Izzah Anwa semalam menyifatkan langkah itu sebagai “penipuan sistematik”, manakala beberapa pemimpin DAP sebelum ini mempersoalkan perbezaan besar bilangan pengundi di antara sesebuah kawasan parlimen.

Di bawah persempadanan semula itu, SPR mencadangkan sebuah kerusi baharu Damansara yang meliputi kerus Petaling Jaya Utara sebelum ini, dengan bilangan pengundi melebihi 150,000.

Beberapa kerusi yang dilihat sebagai kubu kuat pembangkang di Lembah Klang dan kawasan bandar juga bakal menerima penambahan pengundi, manakala kerusi “selamat” untuk BN seperti Putrajaya dikatakan masih kekal dengan bilangan kecil di bawah 20,000 pengundi.

Bagaimanapun, Nazri berkata adalah lebih mudah memberikan khidmat kepada pengundi di kawasan parlimen di pusat bandar walaupun menjangkau lebih 100,000 orang kerana jarak dari satu tempat ke tempat lain lebih kecil.

“Kawasan parlimen kita dibahagikan berdasarkan kebolehan wakil rakyat memberikan khidmat perseorangan.

“Di bandar, seorang wakil rakyat yang mengunjungi sebuah pangsapuri boleh bertemu 3,000, 4,000 pengundi. Tetapi di luar banda, wakil rakyat yang berkunjung ke sesebuah kampung hanya boleh bertemua 100-200 penduduk sahaja,” katanya, dan menambah masa perjalanan di luar bandar juga lebih lama.

Nazri berkata sekiranya benar SPR mahu menipu seperti didakwa pembangkang, ia dapat dikesan dengan senang.

“Kalau kami mahu menipu, rakyat akan tahu dan pembangkang tidak boleh menang (seperti mana pada pilihan raya lampau),” katanya.

- FMT

No comments: