Friday 14 October 2016

Rakyat salah faham kuasa Agong, kata pengamal undang-undang

Datuk Salehuddin Saidin
KUALA LUMPUR: Persepsi yang Majlis Raja-Raja berkuasa mencampuri segala urusan pentadbiran kerajaan hingga ke tahap memecat atau mendesak peletakan jawatan seorang perdana menteri perlu diperbetulkan, menurut seorang pengamal undang-undang.

Dalam wawancara dengan akhbar Sinar Harian yang disiarkan hari ini, Datuk Salehuddin Saidin berkata tidak ada peruntukan secara khusus yang menyatakan Agong boleh memecat perdana menteri.

Katanya perdana menteri hanya boleh berundur sekiranya hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat mengikut Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita seharusnya akur dengan kuasa yang diberikan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan terhadap setiap cabang pemerintahan yang berkonsepkan raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Rakyat perlu diberikan penjelasan yang sebenarnya tentang sejauh mana kuasa institusi beraja dalam Perlembagaan,” katanya.

Dalam laporan akhbar itu juga, Salehuddin turut membidas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memohon campur tangan Majlis Raja-Raja dalam usaha menukar perdana menteri, sedangkan beliau sendiri pernah memandang remeh institusi raja pada suatu masa dahulu.

Beliau menzahirkan rasa pelik kerana Dr Mahathir menarik kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja (ketika menjadi perdana menteri) tetapi tiba-tiba memberi penekanan tentang betapa pentingnya peranan Majlis Raja-Raja dan betapa perlunya majlis berkenaan menyelamatkan rakyat dan negara.

“Tidakkah Tun Mahathir ada sedikit perasaan malu kepada institusi raja yang seolah-olah dipergunakan oleh beliau bagi mencapai sesuatu matlamat?

“Tidakkah beliau khuatir jika dikatakan beliau mempergunakan dan memperalatkan Majlis Raja-Raja bagi mencapai apa sahaja hasrat yang tersirat?,” katanya.

- Bernama

No comments: