Wednesday 19 October 2016

Saya tidak akan undi RUU 355, kata Shafie Apdal

shafie-afdal
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shafie Apdal tidak akan mengundi sekiranya Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU Akta 355) dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pendiriannya dalam isu ini sama dengan pendirian yang diputuskan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.
“Pendirian kita jelas dalam isu ini, sama seperti pendirian Sarawak. Saya tidak akan mengundi dan ia jelas,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Darell Leiking masih tidak menyatakan pendirian beliau mengenai isu berkenaan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membentangkan pindaan kontroversi itu pada sidang kali ini, selepas meminta ia ditangguhkan pada sidang Mei lalu.
Sebelum ini, pada 17 Oktober lalu, Warisan ditubuhkan dan Shafie bertekad untuk menyatupadukan semua kaum di negeri itu.
Jelas presiden Warisan itu, kepentingan dan keperluan rakyat negeri Sabah ketika ini seharusnya lebih diutamakan.
Sementara itu, Shafie turut mendedahkan beberapa pemimpin dan ahli daripada DAP, PKR serta Umno bertemu dengannya dan menyatakan minat untuk menyertai Warisan.
“Alhamdulillah. Ramai (yang datang jumpa, ada yang menyatakan minat). Banyak yang jumpa, kita sembang-sembang. Orang BN (Barisan Nasional) dan akar umbi juga ada,” katanya.
Pada 4 Julai, Shafie yang merupakan bekas naib presiden Umno mengumumkan keluar parti Melayu itu selepas keahliannya digantung pada Jun 24 kerana dituduh bersekongkol dengan pembangkang.
Shafie bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada Kabinet tahun lalu selepas mereka mempersoalkan hutang ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau sebelum ini enggan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditubuhkan Muhyiddin dan dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
- FMT

No comments: