Tuesday 4 October 2016

Mukhriz perlekeh tawaran Annuar Musa kembali kepada Umno

mukhriz-annuar-musa
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir memperlekehkan tawaran Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa agar bekas menteri besar Kedah itu kembali menyertai Umno.

Naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, ia bukanlah tawaran pertama yang diterima malah sebelum ini Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak juga pernah menawarkan jawatan timbalan menteri.

“Saya pun tidak tahu hendak tergelak ataupun terkejut dengan kenyataan itu. Pertamanya, saya dipecat dan bukannya keluar daripada Umno dan beliau (Annuar) adalah ketua penerangan Umno.

“Kalau presiden Umno sendiri pernah tawarkan jawatan timbalan menteri dan kata selepas 3, 4 bulan boleh diangkat sebagai menteri penuh, itu pun saya tolak, apatah lagi tawaran ketua penerangan Umno,” katanya dalam sidang media di Wisma Amanah, hari ini.

Semalam, Annuar mengalu-alukan Mukhriz menyertai parti itu semula jika beliau bercita-cita mahu menjadi perdana menteri dan mengikut jejak langkah bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Annuar juga menyatakan tindakan sesetengah pemimpin meninggalkan Umno dan memutuskan untuk kembali bersama Umno bukanlah perkara baharu kerana Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah juga pernah berbuat demikian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam itu turut menegaskan, PPBM bukanlah sebuah parti sementara sebaliknya ditubuhkan untuk menggantikan peranan yang dipegang Umno sejak sekian lama.

“Saya ingin menegaskan PPBM bukan sebuah parti sementara yang kononnya akan kembali ke pangkuan Umno seperti yang berlaku dalam parti sebelum ini.

“Kami di sini untuk kekal. Masa untuk Umno sudah tamat. Kami akan menggantikan peranan yang dipegang Umno selama ini,” katanya.

- FMT

No comments: