Tuesday 4 October 2016

Jabatan Alam Sekitar muncul selepas 10 jam, ‘pathetic’, kata Azmin

PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar dibidas Menteri Besar Selangor di Twitter hari ini kerana muncul di lokasi pencemaran Sungai Semenyih dikesan 10 jam selepas dimaklumkan agensi negeri.

Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan hari ini berkata, Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan lokasi pencemaran di tapak tak berlesen di Batu 22 1/4 Sungai Lalang, Semenyih jam 1 pagi tadi.

“JAS tiba di lokasi selepas lebih 10 jam kejadian pencemaran dikesan oleh Air Selangor dan LUAS (Lembaga Urus Air Selangor). Baru nak ambil sampel cemar! Pathetic (menyedihkan)!

“Pasukan pemantauan sungai Air Selangor dan LUAS menjalankan rondaan dan pemantauan 24 jam semenjak 2 minggu lalu. Di mana JAS?” tambahnya.

Pada minggu lalu, pencemaran di Sungai Semenyih menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih terpaksa ditutup dari 22 hingga 24 September, mengakibatkan gangguan bekalan air di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Exco Alam Sekitar Elizabeth Wong dalam kenyataan hari ini berkata LRA terbabit perlu ditutup sekali lagi ekoran pencemaran bau dikesan jam 11 malam tadi.

Dalam pada itu, Menteri Besar mengarahkan Air Selangor supaya memasang atur aset untuk mengurangkan impak gangguan bekalan air dan mengambil langkah mengurangkan tempoh penutupan.

JAS juga ditegur supaya bertindak cepat dan tegas membawa kes ini ke mahkamah supaya semua industri di lembangan sungai patuh kepada undang-undang.

“MPKj telah menyita premis dan semua peralatan. PTD Hulu Langat juga diarahkan untuk merampas tanah tersebut serta merta.

“Menteri Besar juga mengarahkan MPKj dan PTD mengambil tindakan dalam tempoh 7 hari ke atas pemilik tanah dan aktiviti industri di lembangan sungai,” menurut kenyataan itu.

- FMT

No comments: