Sunday 11 September 2016

Jangan pertikai, Dr M bersalam dengan Anwar perkara dituntut Islam

khairuddin-ibrahim
PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hairan kenapa Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali tiba-tiba mempersoalkan hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), hanya selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin lalu.
“Apa yang Ibrahim Ali tak puas hati sangat? Apa sebenarnya yang dia nak tahu? Saya ingin ingatkan Ibrahim Ali jangan terlalu emosional. Dia ni kadang-kala manusia ego,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isnin lalu, Dr Mahathir membuat penampilan mengejut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menemui Anwar sebelum mahkamah bersidang dan mereka kelihatan berpelukan dan bersalaman sebelum beransur ke bilik saksi untuk mengadakan perbincangan tertutup selama 30 minit.
Pertemuan bersejarah itu menimbulkan pelbagai tanda tanya. Namun, bekas perdana menteri itu menepis spekulasi media sosial dengan berkata, beliau tidak berdamai dengan Anwar, sebaliknya mereka hanya membincangkan Akta Majlis Keselamatan Negara.
Khairuddin yang dipecat daripada Umno tahun lalu menyifatkan pertemuan dan tindakan Dr Mahathir bersalaman dengan bekas ketua pembangkang itu sebagai perkara dituntut Islam.
“Kaji ajaran Islam itu betul-betul dan tolong jangan pertikaikannya,” katanya.
Khairuddin berkata, presiden penaja PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah mengadakan sidang akhbar bagi menerangkan hala tuju parti itu, bulan lalu.
“Apa masalah dengan Ibrahim Ali ini? Saya tak tahulah sama ada Ibrahim Ali ini hadir atau (memilih) tidak (hadir) untuk mendengarnya,” katanya.
Dalam satu laporan pada Jumaat lalu, Ibrahim ragu-ragu dengan parti baharu itu jika ia benar-benar mahu memperjuangkan Islam dan Melayu.
“Atau adakah mereka hanya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan? Jika mereka adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan, bermakna mereka akan bersama DAP,” kata Ibrahim.
Khairuddin membalas dengan berkata, DAP lebih konsisten dan ikhlas dalam usaha membanteras rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
“DAP tidak ‘chauvinist’ kerana keahliannya juga terbuka pada melayu dan bumiputera. Seumur hidup saya, tak pernah pun dengar DAP suruh hapuskan hak istimewa Melayu,” katanya.
Jumaat lalu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Anwar untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, usaha sedang dilakukan supaya semua parti pembangkang bergabung dalam satu pakatan bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum nanti.
- FMT

No comments: