Monday 1 August 2016

Menteri: Kerajaan tak perlu sediakan peguam bela Riza, Jho Low

Azalina-Othman,-1MDB,-DoJ,-Riza-Aziz,-Low-Taek-Jho,-jho-low
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan tidak perlu menghantar peguam untuk membela warganegara yang disebut dalam saman sivil berkaitan 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata pentadbiran tidak perlu masuk campur kerana kerajaan tidak disebutkan dalam dokumen 136 halaman itu, yang difailkan DoJ 20 Julai lalu.
“Ini merupakan perkara peribadi antara pemerintah AS (dan Riza Aziz dan Low Taek Jho),” kata Azalina kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan Badan Peguam berkenaan pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976 (LPA).
Azalina, yang bertanggungjawab keatas hal ehwal undang-undang, ditanya samada Malaysia akan menghantar peguam membela Riza dan Jho Low.
Beliau telah mengkaji dokumen terbabit dan mendapati ia ditujukan kepada perundangan AS tertentu, dibawah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi, dan secara khusus merujuk kepada empat individu.
Selain Jho Low dan Riza, DoJ turut mengenalpasti pegawai pemerintah Abu Dhabi Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny dalam saman yang mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM14.05 bilion) dilesapkan daripada 1MDB.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pengerang memberitahu pemberita supaya merujuk perkara ini kepada Peguam Negara kerana ia dibawah bidang kuasa Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Dalam saman yang difailkan di Los Angeles itu, DoJ mahu merampas aset “yang terbabit dalam atau boleh dikesan kepada konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.
DoJ turut mendakwa kesalahan dilakukan sepanjang tempoh empat tahun dan melibatkan pelbagai individu, termasuk pegawai warga Malaysia dan rakan-rakan mereka, yang berkonspirasi untuk melencongkan berbilion dolar wang 1MDB secara tipuan.
Rampasan aset bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.01 bilion), rampasan terbesar dalam sejarah AS, dijangka melibatkan hartanah dan aset-aset lain yang dibeli dengan wang yang didakwa dilesapkan daripada 1MDB.
Dalam perkembangan sama, Azalina enggan mengulas khabar angin yang mengatakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sudah berlepas ke Amerika Syarikat untuk merundingkan satu persetujuan berkenaan saman itu.
“Saya rasa kamu perlu hubungi Shafee. Saya tak tahu semuanya walaupun saya berada dalam Jemaah Menteri.”

- FMT

No comments: