Thursday 13 October 2016

Tiada siapa persoal legasi Dr M, kata Salleh

salleh-mahathir-klcc
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mempersoalkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh pentadbiran Najib cuba memadam legasi beliau dengan usaha membunuh industri kereta nasional Proton yang diilhamkannya.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata jika benar apa didakwa, banyak lagi legasi bekas perdana menteri itu boleh dihapuskan.

“Jika kerajaan mahu menghapuskan legasi beliau, sudah tentu KLCC turut dirobohkan namun kerajaan hari ini berpaksikan kepada rakyat didahulukan iaitu membangunkan kemudahan yang dapat memanfaatkan rakyat secara keseluruhan dan bukan segelintir golongan sebagaimana berlaku di era pentadbiran beliau,” kata Salleh menjawab catatan blog Dr Mahathir semalam.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa kerajaan cuba memadam terus namanya daripada Proton dengan menghalang kakitangan menjalinkan sebarang kerjasama dengan penyokongnya.

“Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Ia hendaklah dijual kepada orang asing 100% supaya industri kereta nasional dihapuskan. Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimulakan oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati,” katanya yang menambah Datuk Seri Najib Razak mahu “bankrapkan” Proton.

Salleh mengakui peranan dimainkan Dr Mahathir dalam Proton, yang melancarkan jenama kereta tempatan pertama Proton Saga pada 1985, tidak dapat dinafikan.

Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan kerajaan cuba mengakhiri Proton, dan mengingatkan suntikan pinjaman RM1.5 bilion kepada syarikat kereta nasional itu April lalu.

“Malah, pinjaman mudah itu antara lain bagi membantu syarikat automotif itu membayar vendor,” kata Salleh.

Mac lalu, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi Proton, susulan pendiriannya yang mahu Najib meletak jawatan. Katanya, beliau tidak mahu menjadi punca kepada ketidakmampuan syarikat itu pulih kerana kehadirannya.

No comments: