Thursday 13 October 2016

Najib mahu ‘bankrapkan’ Proton, kata Dr Mahathir

mahathir proton
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu “bankrapkan” industri automobil negara.

Ia berikutan tindakan Najib yang kebelakangan ini cuba menghalang kakitangan Proton Holdings Berhad (Proton) daripada menjalinkan kerjasama dengan kumpulan yang menyokong Dr Mahathir.

“Orang-orang Proton tidak dibenarkan bercakap dengan saya, dan peniaga kenalan saya tidak dibenarkan mengadakan urus niaga dengan Proton. Tujuan Najib ialah supaya Proton bankrap dan boleh dijual dengan murah.

“Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Ia hendaklah dijual kepada orang asing 100% supaya industri kereta nasional dihapuskan. Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimulakan oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian menerusi entri terbaharu blognya chedet.cc sekali gus menyifatkan pemerintahan kuku besi Najib itu langsung tidak menakutkan semangat rakyat menentang perdana menteri.

“Sesungguhnya Najib amat terdesak untuk melemahkan semangat saya juga. Bukan sahaja polis pengiring motosikal ditarik balik tetapi pegawai dan tukang masak saya pun hendak ditukar. Saya tidak putus asa dan percaya rakyat Malaysia akan terus memiliki semangat juang untuk jatuhkan kerajaan kuku besi Najib.

“Mereka tidak takut. Lebih kuat tekanan lebih bencilah mereka terhadap Najib dan kerajaannya. Semua mereka malu dan tidak ingin melihat negara tercinta ini memiliki seorang perdana menteri yang dituduh dan dipercayai oleh seluruh dunia melesapkan (curi) berbilion duit rakyat,” katanya.

Pada 30 Mac lalu, Dr Mahathir mengambil langkah drastik apabila bertindak meletakkan jawatan sebagai pengerusi Proton kerana tidak mahu menjadi punca kepada ketidakmampuan syarikat kereta nasional itu untuk kembali pulih “kerana kehadirannya”.

Malah terbaharu DRB-Hicom berkata perniagaan utamanya iaitu automotif menjunam sebanyak 21% dan antara sebabnya ialah akibat penurunan jumlah jualan kereta Proton dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Sementara itu, Nikkei Asian Review melaporkan kerugian 3 bulan pertama berakhir 30 Jun bagi syarikat itu berjumlah RM169.3 juta, berbanding RM19.7 juta tahun lalu, kata syarikat itu.

- FMT

No comments: