Thursday 13 October 2016

Musa Hassan tolak tawaran RM2 juta sebulan

musa-hassah-rasuah
PETALING JAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa ada pihak pernah menawarkan “duit kopi” RM2 juta kepadanya setiap bulan, untuk melindungi pusat perjudian dan pelacuran.

Musa yang dipetik Sin Chew Daily berkata, itu adalah tanda harganya ketika memegang jawatan nombor 1 Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai September 2006 sehingga 13 September 2010, bagaimanapun beliau enggan memaklumkan, jika ada pihak yang masih menawar suapan kepadanya, ketika ini.

“Dahulu, ada orang tawar RM2 juta setiap bulan, katanya ia adalah duit kopi, tetapi saya tak terima, langsung tidak,” katanya ketika berucap di sebuah seminar anjuran Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC) dan Institut Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca), semalam.

Musa yang pernah berkhidmat selama 41 tahun dengan PDRM, bukan sahaja menolak tawaran RM2 juta, malah hamper pun tidak diterimanya, kerana mahu menjadi teladan baik kepada orang bawahan.

Beliau juga tidak membenarkan anggotanya menggunakan namanya untuk merasuah dan menahan semua individu terbabit rasuah, termasuk orang bawahannya.

“Tidak kira berpangkat Datuk atau sebaliknya, saya akan tangkap. Saya bukan tangkap ikan kecil sahaja, VIP berpangkat Datuk membawa pelbagai masalah kepada orang bawahan.”

Ketika menjadi pegawai penyiasat di Melaka, Musa pernah dipanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) (kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kerana didakwa terbabit rasuah.

“Pada suatu hari, seorang pegawai BPR memanggil saya, katanya beliau sudah mengekori dan memantau saya selama 2 bulan dan mendapati saya merasuah.

“Saya beritahu mereka, saya tidak pernah terima rasuah. Pegawai itu berkata memang betul tiada bukti saya merasuah, tetapi ada anggota yang menggunakan nama saya terima rasuah daripada pusat perjudian.

“Jadi, mereka mahu saya ambil perhatian dan bertindak, jangan bagi muka kepada orang bawahan. Saya kata ‘jika begitu, kamu tangkap saja orang itu.

“Inilah masalahnya, saya tidak rasuah, tetapi orang bawahan merasuah dan memberi tanggapan kepada orang ramai yang Musa Hassan merasuah,” katanya.

Beliau menasihatkan penjawat awam supaya tidak menjadi “yes mam” hanya kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat.

“Asalkan mematuhi undang-undang, takkan ada masalah. Saya tidak dinaikkan pangkat untuk suatu tempoh panjang, kerana tidak mahu menjadi ‘yes man’.

Musa berkata, aktiviti rasuah menjadi satu amalan kini dan ia berpunca daripada penipuan yang dipelajari anak-anak.

“Menipu adalah permulaan rasuah. Orang belajar menipu dari mana? Di rumah. Apabila pelanggan yang anda tidak mahu jumpa datang ke rumah, anda akan ajar anak beritahu ‘ayah tak ada kat rumah’, dari situlah anak mula berbohong,” katanya sambil menambah pendidikan anti rasuah perlu bermula daripada kecil di rumah.

- FMT

No comments: