Thursday 8 September 2016

Peguam Dr M diarah bantu Anwar

mahathir_anwar_mkn_600
PETALING JAYA: Selepas pertemuan bersejarah antara Tun Dr Mahathir Mohamed dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, kini peguam kedua-dua tokoh itu pula dijangka bekerjasama membantu ketua pembangkang itu mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Arahan itu dikatakan dibuat oleh Dr Mahathir supaya pihaknya dapat menyokong Anwar dalam kesnya menghalang pelaksanaan akta tersebut.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, sebaik menerima arahan beliau mengusahakan pertemuan dengan peguam Anwar selewatnya pada minggu depan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan.

“Kita bincang, kita lihat keperluan, selepas itu baru boleh susun gerak kerja berikutnya,” jelas Haniff seperti yang dilapor akhbar Sinar Harian hari ini.

Hanif merujuk kenyataan itu kepada peguam Anwar, Latheefa Koya, N.Surendran dan Eric Paulsen.

Terdahulu, Dr Mahathir memohon maaf atas pindaan perlembagaan yang menyebabkan kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

Beliau juga menafikan tanggapan bahawa MKN sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang pernah digunakannya dulu.

Bukan seperti MKN yang mengenepikan suara Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong, beliau berkata ISA mendapat keizinan Agong.

Menurut Mahathir MKN yang diluluskan di Dewan Rakyat menghina peruntukan Perkara 38 (4) yang menyatakan tiada undang-undnag yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Pada 2 Ogos lalu Anwar memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan MKN melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon pengisytiharan Perkara 66 (4) dan 66 4(A) yang membenarkan penguatkuasaan undang-undang itu tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak sah serta terbatal selain memohon injunksi untuk menyekat Majlis Keselamatan Negara mengambil tindakan di bawah Akta MKN sehingga tuntutan mahkamah itu selesai.

Manakala, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula pernah menegaskan MKN sengaja disalah tafsir.

“Ia tidak sama seperti pengisytiharan darurat di seluruh negara bahawa kuasa kekal di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen masih bersidang dengan mengawasi mana-mana kawasan keselamatan yang diisytiharkan,” katanya.

- FMT

No comments: