Monday 1 August 2016

Kes Mara: Keputusan saman Khairul Azwan-Rafizi 21 Sept

rafizi-khairul-azwan-2
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 21 September untuk keputusan saman fitnah Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun terhadap Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berhubung isu pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia.
Hakim S. Nantha Balan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk M. Reza Hassan mewakili Khairul Azwan dan peguam William Leong yang mewakili Rafizi.
Reza ketika dihubungi berkata mahkamah mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan kes itu selama dua hari bermula 6 Jun lepas.
Pada 31 Julai 2015, Khairul Azwan memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung isu pembelian hartanah itu.
Dalam kenyataan tuntutan, beliau berkata Rafizi mengedarkan dan menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika mengadakan sidang media di pejabat Rafizi di Pusat Perkembangan Minda, Uni Infiniti pada 6 Julai tahun lepas.
Khairul Azwan yang juga pengarah syarikat Biosis Group Bhd, berkata kenyataan itu antara lain mempersoalkan kononnya beliau terbabit dalam urus niaga pembelian 746 Swanston Street di Australia oleh syarikat milik penuh Mara Inc. Thrushcross Land Holdings Ltd, yang mengalami ketirisan sebanyak RM63 juta.
Katanya, kenyataan berunsur fitnah itu diterbitkan portal dalam talian yang mungkin dikongsi pengguna Internet seluruh dunia.
Beliau mendakwa kata-kata Rafizi itu mencemarkan reputasinya sebagai ahli perniagaan dan ahli politik dan dibenci oleh orang ramai kononnya beliau terbabit dalam urus niaga yang meragukan demi kepentingan kewangan sendiri.
Oleh itu beliau menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teruk.
- FMT

No comments: