Sunday 4 September 2016

Saya "Yes Man", Begitu Juga Muhyiddin

PETALING JAYA: Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mengakui beliau seorang "yes man" seperti mana dilabel Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana percayakan wawasan perdana menteri untuk Malaysia.
Memberi jawapan balas dalam perang mulut dengan bekas timbalan perdana menteri itu, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri itu juga merujuk Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai "yes man" kerana menjadi boneka Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Perdana Menteri kekal komited terhadap usahanya untuk manfaat agama, bangsa dan negara. Dan kerana itu juga saya menyokong dan bekerja dengannya selama 20 tahun. Jika kerana itu menjadikan saya "yes man", saya bangga.
"Ironinya, Muhyiddin sendiri seorang "yes man" tetapi dia melakukan tidak berasaskan prinsip dan nilai," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, Muhyiddin dan Dr Mahathir menyerang dengan hebat isu 1Malaysia Development Berhad untuk mencapai matlamat politik peribadi mereka.
Tengku Sariffuddin juga mengesahkan dalang di sebalik tindakan Dr Mahathir telah gagal, sambil menambah Muhyiddin perlu menyalahkan dirinya hingga menyebabkan dipecat daripada Kabinet dan Umno.
"Kini, Tan Sri Muhyiddin ada pilihan terhad, untuk terus 'berperang' walaupun tahu dia akan kalah.
"Tan Sri Muhyiddin sepatutnya melakukan perkara yang betul untuk negara, rakyat dan parti yang telah berikan begitu banyak kepadanya sebelum beredar dengan senyap," tambahnya.
Selasa lalu, Tengku Sariffuddin mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan Muhyiddin kini kesal dan terdesak kerana gagal menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri.
Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak percayakan apa yang dikatakan bekas timbalan perdana menteri itu.
Susulan itu, Muhyiddin memberi maklum balas dengan memanggil Tengku Sariffuddin sebagai alat kepada perdana menteri dengan mendakwa dakwaan palsu terhadapnya itu memberi gambaran keperibadian pembantu Najib itu.
- mStar

No comments: