Thursday 1 September 2016

Puteri Umno nafi serang Muhyiddin guna skandal seks

Datuk-Mas-Ermieyati-Samsudin

PETALING JAYA: Puteri Umno menepis dakwaan Anina Saadudin kononnya parti Melayu itu menjadikan skandal seks sebagai modal untuk menyingkirkan bekas timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menjelaskan, Umno memecat Muhyiddin bukan kerana skandal seks, sebaliknya perjuangan yang dibawa bekas timbalan perdana menteri itu bertentangan perjuangan perdana menteri dan presiden parti.

“Tindakan memecat Muhyiddin daripada kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiada kena-mengena dengan khabar angin berkenaan isu skandal seks yang hebat digembar-gemburkan sesetengah pihak.

“Sebagaimana kita semua sedia maklum, pemecatan tersebut kerana beliau tidak sehaluan dan sependapat dengan perdana menteri serta barisan kabinet dalam misi perjuangan mandat dan amanah parti selama ini,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata, Umno tidak akan melayan dakwaan serta tuduhan yang dilemparkan pihak tertentu bagi memburukkan parti, sebaliknya memberi tumpuan memulihkan keyakinan rakyat selepas dirosakkan pemimpin terdahulu.

“Apa yang harus diutamakan sekarang ini adalah meraih kepercayaan pengundi yang sedikit goyah akibat tindakan melulu pemimpin sebelum ini yang mengutarakan perbezaan pendapat di forum terbuka,” katanya.

Semalam, Anina yang juga bekas ahli Wanita Umno Langkawi mendakwa parti itu sering menggunakan skandal seks sebagai modal untuk menjatuhkan pemimpin lain, termasuk mengaitkan Muhyiddin mempunyai skandal dengan wanita bernama Nika Gee.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar berkata, Umno adalah parti bermaruah dan tidak perlu cara terkutuk bermodalkan tuduhan seks untuk menjatuhkan lawan.

“Selama ini pun sudah 59 tahun Umno dan BN memerintah, kita tidak pernah menggunakan cara jahat untuk menang, tidak ada untungnya membuat fitnah.

“Umno akan terus berjuang berpaksikan realiti berkhidmat kepada rakyat, sebab kita datang daripada rakyat, maka kita harus kembali kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
- FMT

No comments: