Monday, 31 October 2016

Siasat Dakwaan George Soros Biaya Bersih - TPM Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Maklumat yang mendakwa hartawan George Soros membiayai Bersih, Merdeka Center dan Malaysiakini perlu disiasat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia harus disiasat secara emperikal, iaitu berdasarkan pemerhatian dan ujian saintifik.

"Soalnya bukan "siapa" dibiayai dan "kenapa". Apa yang harus ditanya ialah penglibatan pihak luar terhadap politik negara.

"Ini kerana politik Malaysia mengikut acuan yang sesuai dengan politik negara kita. Tidak perlulah, jika benar melibatkan pihak luar apatah lagi pembiayaan aktiviti politik sama ada menentang atau menyokong mana-mana organisasi atau individu," katanya kepada pemberita pada pelancaran buku bertajuk 'Being Abdullah Badawi', di sini, Isnin.

Menurut laporan media, satu kumpulan asing dipengerusikan Soros membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pemimpin tempatan supaya siasatan dijalankan ke atas organisasi yang terlibat, Ahmad Zahid berkata ia akan dilakukan sekiranya terdapat laporan polis.

"Biar laporan polis dilakukan. Kita juga akan lakukan tindakan sebagai mana saranan itu. Kita tidak tertakluk pada sebarang spekulasi atau saranan," katanya.
 
-Bernama

Bajet Selangor hanya retorik, janji lama belum tertunai, kata Adun BN

 
SHAH ALAM: Pemimpin Barisan Nasional menyifatkan Belanjawan Selangor 2017 dibentangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai retorik semata-mata bagi menarik minat rakyat agar mengagumi petadbirannya.

Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, tiada perkara baharu dibentangkan dan hanya mengulangi bajet terdahulu dan cuba meniru kerajaan pusat.

“Saya buat kesimpulan bajet ini banyak retorik kerana beliau (Azmin) bercakap banyak tetapi buat lambat. Banyak diketuk baru buat.

“Kerajaan beri kebaikan dalam skim kesihatan, beliau pun nak beri juga melalui skimnya.Begitu juga dengan skim perumahan. Beliau seperti nak bertanding dengan kerajaan pusat.

“Apa yang dicakap dalam bajet ini sudah banyak kali dan banyak perkara yang belum selesai. Hanya mengulangi perkara yang kononya sedang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas selesai pembentangan di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Pada masa sama, Adun Batang Kali itu membidas tindakan Azmin yang menambah peruntukan dalam program bas percuma, Bas Smart Selangor sebanyak RM10 juta kepada RM20 juta bagi 2017.

Menurutnya, tidak semua rakyat negeri itu boleh menikmati perkhidmatan bas percuma berikutan laluan khas yang terhad.

“Beliau lebih mengutamakan Bas Smart Selangor yang tidak menyeluruh. Bagaimana dengan penggunaan kenderaan peribadi yang kita lihat masih belum berjaya ditangani, begitu juga pengangkutan awam. Beliau kembangkan lagi Bas Smart Selangor, mungkin kerana ada logonya, hanya untuk menambah popular,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz menyifatkan belanjawan negeri itu hanya wayang kulit Azmin.

“Nampak cantik di atas kertas. Kita hendak tengok hasilnya. Saya bagi contoh, Adun Sekinchan menegur pentadbiran Dewan Negeri yang mengenai pelaksanaan bantuan perkahwinan di Selangor. Borang sudah dihantar tetapi pemohon masih tidak mendapat duit berkenaan walaupun sudah mengandung.

“Saya nampak bajet ini bajet wayang kulit sahaja. Tunjuk defisit lepas itu jadi bajet seimbang. Ini semua wayang kulit sahaja,” katanya.

- FMT

Reezal Merican pertahan Husni bangkit isu 1MDB

Reezal-Merican-Naina-Merican
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini mempertahankan tindakan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, ia adalah hak bekas menteri kewangan itu selaku wakil rakyat untuk mempersoalkan isu 1MDB.

“Saya tak kata tak amanah. Dia punya hak untuk tanya, untuk ceritakan perkara dalam perbincangan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Buku “Being Abdullah Ahmad Badawi” di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.

Timbalan menteri luar itu berkata demikian sebagai mengulas gesaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu seluruh Kabinet disoal siasat berhubung skandal 1MDB, jika Husni akan disiasat kerana membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Pemimpin parti Islam itu berkata, Husni tidak perlu disoal siasat, sebaliknya keseluruhan Kabinet perlu disiasat adakah mereka sengaja mengelirukan orang awam mengenai 1MDB, selain soalan Husni perlu dijawab polis dan peguam negara.

Minggu lalu, Husni mempersoalkan motif kerajaan menubuhkan 1MDB yang didakwanya menyaksikan banyak penggelapan berlaku tanpa dikenakan tindakan, selain mempertikaikan wang AS$4 bilion (RM16.69 bilion) dilaporkan dalam Aabar Investment PJS Ltd, yang tidak dimiliki IPIC.

Reezal yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, Husni bagaimanapun tidak pernah membangkitkan isu 1MDB dalam mesyuarat parti, sebaliknya ahli MT lain yang membangkitkan isu itu.

“Tak pernah dengar Husni bangkit (isu 1MDB) dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Ada rakan pernah bangkit.

“Untuk mendedahkan perkara yang dipersetujui bersama, beliau perlu bertanggungjawab,” katanya.

- FMT

Berdepan usul digantung, Lim anggap berani kerana benar

Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng percaya beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan selepas didakwa menghina Speker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ketika ditanya wartawan sama ada beliau bimbang sekiranya digantung sebagai Ahli Parlimen, Lim berkata beliau 'berani kerana benar'.

"Ia satu kenyataan, bukan subjudis. Saya buat sidang media ini kerana nak memberi respon terhadap sidang media dia (Pandikar). Berani kerana benar," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Kerajaan sebelum ini dilapor akan membawa satu usul dalam tempoh terdekat berhubung tindakan Lim yang didakwa tidak menghormati Pandikar.

Lim pada 25 Oktober lalu mendakwa Pandikar mengarahkan beliau keluar daripada Kamar Khas yang bersidang, sebelum sempat membahaskan ucapannya mengenai belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Lim mendakwa Pandikar memberi 'syarahan' mengenai isu subjudis saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, sebelum mereka saling bertekak antara satu sama lain dan Lim diarah keluar daripada sidang itu.

Sebelum keluar dari dewan, Lim juga dilihat berkata kepada Pandikar bahawa anggota dewan dipilih oleh rakyat, manakala jawatan speaker itu dibuat menerusi lantikan.

MP UK juga pernah keluar dewan

Menurut Lim, sebelum ini Pandikar menyebut bahawa tiada wakil rakyat berjalan keluar semasa pembentangan belanjawan di Parlimen di United Kingdom (UK).

Bagaimanapun, Lim mendakwa beliau telah membuat kajian dan mendapati pada pembentangan belanjawan tahun 1981 semasa pentadbiran Margaret Thatcher, ramai anggota parlimen daripada parti konservatif meninggalkan sidang ketika menteri kewangan ketika itu, Geoffrey Howe berucap.

"Adakah Pandikar akan memohon maaf kepada anggota parlimen pembangkang yang meninggalkan dewan ketika ucapan Belanjawan 2017 Datuk Seri Najib Razak setelah diminta keluar oleh Pandikar.

"Atau adakah beliau akan menuduh saya mempersendakan Speaker di luar Parlimen?" soalnya.

Justeru, beliau turut mempersoalkan sama ada Pandikar akan meletakkan jawatan sebagai Speaker bagi mencontohi dewan rakyat di negara demokratik.

Malah, beliau juga mempersoalkan sama ada Pandikar akan membenarkan anggota parlimen pembangkang mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut menjadi amalan House of Commons UK serta di negara-negara demokratik yang lain.

"Dahulu kita pernah melantik anggota parlimen menjadi Speaker sehinggalah Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1964.

"Adakah Pandikar akan mengiktiraf kejanggalan sistem ini dan meletakkan jawatan sebagai Speaker yang dilantik untuk memberi laluan kepada seorang anggota parlimen demi mengotakan kata-katanya untuk mencontohi bagaimana dewan perwakilan negara demokratik beroperasi?,"soalnya.

- MK

Timb speaker tolak usul halang IGP siasat Husni

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee enggan membuat sebarang ketetapan bagi menghalang polis menyoal siasat Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah atas dakwaan melanggar sumpah kerahsiaan.

Menurut Lim Guan Eng (DAP - Bagan) Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar "melanggar kemuliaan parlimen" dengan menyiasat bekas menteri kewangan kedua itu.

Kata Lim seseorang anggota parlimen memiliki kekebalan atas ucapan yang dibuatnya di parlimen.

Justeru kata Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang speaker mesti membuat ketetapan menghalang polis menyiasat Ahmad Husni.

Ronald bagaimanapun berkata siasatan dijalankan kerana ada tiga laporan polis dibuat mengenai isu berkenaan dan beliau tidak akan mencampurinya.

"Jika ada laporan polis, polis bertanggungjawab untuk menyiasat.

"Kekebalan parlimen tidak bersifat mutlak, ia tertakluk kepada Akta Hasutan," katanya.

Di sebalik gesaan Lim dan bapanya Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) untuk speaker melindungi hak anggota parlimen Ronald tetap dengan keputusannya tidak membuat sebarang ketetapan.

Ahmad Husni dijadual memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman tengah hari ini berhubung ucapan perbahasannya yang menyentuh 1MDB di Dewan Rakyat minggu lalu.

- MK

Belanjawan Selangor 2017 bukan bajet ‘ikat perut’, kata Azmin

azmin-belanjawan
SHAH ALAM: Pembentangan Belanjawan Selangor 2017 kali ini bukan bajet “ikat perut”, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, kerajaan negeri mengutamakan pembangunan tanpa menghiraukan jumlah yang dibelanjakan untuk 2017 nanti.

“Kita tidak ‘mengikat perut’ rakyat. Kita berbelanja tetapi dalam berbelanja, kita mengutamakan pembangunan. Jika kita tidak mengutamakan pembangunan, tanah air dan bangsa tidak akan punya masa hadapan,” katanya semasa membentangkan bajet di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Azmin berkata demikian sebagai reaksi terhadap perbentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat pada 21 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri mengganggarkan perbelanjaan berjumlah RM3.45 bilion bagi 2017 untuk melaksanakan perancangan dan agenda kerajaan negeri.

Jelasnya, peruntukan itu khusus kepada perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

“Kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan 2017 berjumlah RM3.45 bilion bagi melaksanakan semua perancangan dan agenda.

“Daripada jumlah itu, RM1.65 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan RM1.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata, bajet kali ini dijangka mengalami defisit berjumlah RM900 juta berpunca daripada peningkatan substantif dalam perbelanjaan pembangunan bagi memenuhi keperluan pembangunan mampan yang berkualiti untuk rakyat.

“Di bawah peruntukan mengurus, RM427.9 juta adalah bagi emolumen dan RM543.16 juta disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan. Manakala, RM18.34 juta diperuntukkan kepada pembelian aset.
“Sejumlah RM608.11 juta disediakan untuk pemberian dan kenaikan bayaran tetap serta RM52.49 juta untuk perbelanjaan lain,” katanya.

Sementara itu, sebanyak RM20.3 juta diperuntukkan untuk kenaikan gaji tahunan kakitangan awam berikutan langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam.

Manakala skim air percuma diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM183.2 juta untuk program berkenaan.

Selain itu, RM209 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan sektor kesihatan dan pembangunan luar bandar menerusi pembentangan belanjawan negeri itu.

Katanya, peruntukan tersebut meliputi pelaksanaan program skim penjagaan kesihatan yang memberi tumpuan terhadap pembangunan kesihatan luar bandar.

“Jumlah ini meliputi 11.6% diperuntukkan bagi pelaksanaan program skim penjagaan kesihatan asas (primary health care) dan program menangani wabak denggi dan zika.

“Selain itu, peruntukan ini meliputi pembangunan ekonomi luar bandar serta membangun prasarana asas bagi tujuan kemudahan di desa serta menaiktaraf jalan kampung,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan meneruskan program pengecualian cukai taksiran dan fi lesen perniagaan bagi kumpulan sasar yang sama.

Katanya, ini berikutan rakyat masih dihisap darah mereka melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Bajet 2017 Putrajaya yang “mengikat perut” rakyat.

“Kerajaan negeri meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan awal bagi memastikan pengecualian ini dilaksanakan serta merta mulai 1 Januari 2017,” katanya.

- FMT

8 menteri, 3 MB sertai Najib ke China

Bahasa,-najib-razak,-lawatan,-china
BEIJING: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak tiba di sini pada Isnin untuk lawatan rasmi 6 hari ke China dengan matlamat mengukuhkan lagi hubungan 2 hala yang lama terjalin antara kedua-dua negara.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing di sini pada 12.30 tengah hari waktu tempatan, sama waktu seperti di Malaysia.

Najib dan Rosmah disambut Naib Menteri Hal Ehwal Luar China Liu Zhen Min dan Duta Besar Malaysia di China Datuk Zainuddin Yahya serta isteri Datin Fairos Ishak.

Lawatan atas jemputan Perdana Menteri China Li Keqiang itu, merupakan yang ketiga oleh Najib sejak 2009.

Sebelum ini, perdana menteri melakukan lawatan kerja ke China pada Mac lepas bagi menghadiri Forum Boao bagi Asia (BFA) di Hainan.

Najib turut disertai Perutusan Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Kiong.

Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Shabery Cheek, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Turut menyertai rombongan berkenaan ialah pemimpin negeri termasuk Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Pada Khamis, Najib akan mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping, diikuti majlis makan malam yang dihoskan oleh Xi dan isteri Peng Liyuan sebagai penghormatan kepada Najib dan Rosmah Mansor, di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.

Najib yang juga menteri kewangan, dijadual mengadakan pertemuan 2 hala dengan Li pada Selasa selepas menghadiri majlis sambutan rasmi di Great Hall of the People.

Najib dan Li akan menyaksikan lebih 10 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua kerajaan dalam bidang pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan, diikuti majlis makan malam yang dihoskan Li bagi meraikan Najib.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat China (NPC) Zhang Dejiang akan membuat kunjungan hormat ke atas Najib.

Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama perniagaan China dan menyaksikan lebih 10 perjanjian antara syarikat Malaysia dan China, antaranya berkaitan pelaburan dalam pembinaan pelabuhan, pemasangan paip gas dan loji penyahgaraman air, e-dagang, pembuatan panel solar, pembinaan, pelaburan, pembangunan dan kewangan.

Najib juga akan menyampaikan ucaptama pada jamuan tengah hari Forum Perniagaan Malaysia-China yang akan dihadiri lebih 400 ahli perniagaan dari China dan Malaysia.

Pada Jumaat, Najib akan melancarkan Pavilion Pelancongan Malaysia mengenai Alitrip, yang merupakan satu platform e-dagang bagi memudahkan pelancong, terutama pelancong dari China, mempelajari lebih lanjut mengenai destinasi pelancongan di Malaysia.

Najib juga dijadual melawat Taman Perindustrian Baharu Gu’an di Wilayah Hebei dan akan menaiki kereta api berkelajuan tinggi dari Beijing ke Tianjin, selain mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di China.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009 manakala Malaysia merupakan rakan dagang kelapan terbesar China serta rakan dagang terbesar dalam kalangan 10 negara Asean.

Data yang dikeluarkan China menunjukkan jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China tahun lepas berjumlah US$97.3 bilion (RM408.4 bilion) dan pada Ogos tahun ini, dagangan berjumlah AS$54.3 bilion (RM227.9 bilion).

- Bernama

Najib selalu isytihar cukainya, kata Azalina

azalina-najib
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tidak pernah gagal mengisytiharkan cukainya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen hari ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar), Azalina berkata pengisytiharan itu dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut undang-undang.

“Najib isytihar cukainya setiap tahun kepada LHDN, berdasarkan kepada kiraan dan kadar ditetapkan lembaga itu,” katanya.

Terdahulu, Ko bertanya Najib sebagai menteri kewangan dan perdana menteri, adakah beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan mengisytiharkan cukai pendapatan mereka secara umum, sama seperti amalan Presiden Barack Obama dan bekas perdana menteri Britain David Cameron.

Beliau juga bertanya adakah pasangan itu akan mengumumkan badan amal yang menerima sumbangan peribadi daripada mereka.

Azalina tidak menjawab soalan itu, dan berkata dengan ringkas:”Itu hak mana-mana pemimpin untuk menyumbang kepada mana-mana badan amal.”

Pengkritik sebelum ini berulang kali mempersoalkan sama ada perdana menteri membayar cukai untuk sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Bagaimanapun, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berkata Najib tidak perlu membayar cukai daripada RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, kerana cukai sepatutnya ditanggung penderma, bukan penerima.

- Dewan Rakyat

Jika Husni pun tak tahu,adakah polis tahu?

Tindakan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membangkitkan isu 1MDB di parlimen setelah gagal mendapat jawapan yang meyakinkan di kabinet wajib dipuji.

PAS menasihatkan pihak polis supaya tidak membazirkan tenaga dan masa mereka untuk menemuramah Ahmad Husni yang telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Sebaliknya, polis perlu terus menyiasat kes 1MDB yang sudah tertangguh lama. Malah, pada 20 Oktober lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis masih pada tahap mengesan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung 1MDB.

Soalan Ahmad Husni sebenarnya perlu dijawab polis dan Peguam Negara, dan bukannya pihak berkuasa sebaliknya membawa beliau untuk disoal siasat. Ahmad Husni membangkitkan soalan iaitu:
Mengapa kita tubuhkan 1MDB? Dalam konteks itu mengapa kita letak lebih kurang RM16 billion dalam Aabar PJS Limited yang bukan dimiliki oleh International Petroleum Investment Company (IPIC), sebuah syarikat dimiliki oleh dua anak raja yang didaftar di British Virgin Island?
Mengapa tindakan undang-undang tidak diambil ke atas pengurusan 1MDB kerana memasukkan duit di tempat yang tidak betul? Dan mengapa tidak ambil tindakan kepada dua anak raja ini kerana penyelewengan wang tersebut?

Jika seorang menteri kewangan kedua seperti Ahmad Husni yang bekerjasama dengan menteri kewangan pertama - yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - tidak mempunyai hak untuk bertanya di parlimen, apakah lagi rakyat biasa yang inginkan kebenaran mengenai isu 1MDB didedah?

Jika Ahmad Husni perlu disoal siasat, seluruh kabinet juga perlu disoal siasat – apakah mereka dengan sengaja mengelirukan orang awam mengenai 1MDB?

Tren kargo tergelincir, kejadian terburuk dalam tempoh 130 tahun

Datuk Ir Nawawi Ahmad
BATU GAJAH: Kejadian tren kargo tergelincir di KM200.283 di Kampung Bakap berhampiran Stesen Batu Gajah di sini, semalam merupakan kejadian terburuk berlaku dalam sejarah perkhidmatan kereta api negara dalam tempoh 130 tahun.

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata walaupun sebelum ini berlaku beberapa insiden kereta api tergelincir, namun ia tidak seteruk kejadian itu.

“Selama ini, kalau tergelincir pun hanya jatuh dan terbalik sahaja, namun kerosakan kali ini umpama serangan garuda sehingga semuanya rosak dengan dahsyat.

“Oleh kerana gerabak itu kosong dan tiada muatan, ia menyebabkan gerabak mudah berlanggar satu sama lain.

“Mungkin kalau ada muatan, ia lebih kukuh kerana setiap satu gerabak tanpa muatan adalah 12 tan manakala jika ada muatan ia seberat 45 tan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nawawi berkata ekoran kejadian itu dianggarkan kos kerugian yang terlibat mencecah puluhan juta ringgit.

“Satu lokomotif berharga RM12 juta manakala satu gerabak berharga RM400,000,” katanya.

Pada kejadian 3.15 pagi Jumaat lalu, 2 lokomotif dan 40 gerabak dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek, Perak, untuk mengambil muatan simen, tergelincir di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di sini.

Dalam insiden itu, 2 lokomotif dan 25 gerabak mengalami kegelinciran.

- Bernama