Tuesday 11 October 2016

Baju Merah tubuhkan skuad undang-undang

merah
KUALA LUMPUR: Gerakan Baju Merah kini mempunyai pasukan peguam sendiri daripada pelbagai bidang perundangan untuk mempertahankan hak mereka, jika berlaku sesuatu tidak diingini sepanjang demonstrasi yang akan diadakan serentak dengan Bersih 5.

Penasihat undang-undang Baju Merah, Mohd Imran Tamrin berkata skuad itu terdiri daripada 21 peguam yang memberikan perkhidmatan secara pro bono.

“Kami menyediakan garis panduan kepada semua ahli Baju Merah dan penyokong untuk dipatuhi pada hari berkenaan.

“Tetapi kami sedar kadangkala berlaku perkara yang tidak dapat dielakkan. Jadi kami akan mempertahankan mana-mana ahli atau penyokong Baju Merah yang terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Tan Kim San di sini hari ini.

Antara garis panduan ditetapkan ialah mereka yang menghadiri perhimpunan itu tidak dibenarkan membawa senjata, tidak boleh bertindak kasar secara fizikal dengan peserta Bersih 5, jangan menggunakan perkataan berunsur agama dan kaum, serta bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang bertugas.

Imran juga mendesak 2 peserta Baju Merah yang terlibat dalam insiden motosikal baru-baru ini menyerah diri di balai polis.

“Anda tidak perlu bimbang kerana kami akan mempertahankan anda dan memastikan hak anda dilindungi,” katanya.

Satu klip video menunjukkan 2 penunggang motosikal berbaju Bersih dibaling telur oleh penyokong Baju Merah ketika menunggang di sebuah jalan yang dipenuhi penyokong Baju Merah.

Dua penyokong Bersih itu menyertai kempen 7 minggu konvoi Bersih 5 di Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 19 November. Bersih 5 mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan perubahan institusi.

Polis masih mencari mereka yang bertanggungjawab dalam insiden serangan itu.

- FMT

No comments: