Tuesday 16 August 2016

'Percayalah, majoriti Melayu masih sayang Umno'

Sebahagian besar orang Melayu tetap akan menyokong Umno walaupun sedang berdepan dengan beberapa isu termasuk yang menyentuh soal kepimpinan negara, kata Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Kata Syed Ali, beliau percaya majoriti orang Melayu masih sayangkan UMNO walaupun keberangkalian untuk berasa kecewa dengan perkembangan politik yang berlaku tetap ada, memetik laporan Umno Online.

“Secara jujurnya, tentu ada yang kecewa dengan beberapa isu yang masih belum lagi dirungkai tetapi tidak bermakna kekecewaan itu menyebabkan mereka meninggalkan Umno.

“Percayalah, sebahagian besar orang Melayu masih sayangkan Umno kerana parti itu lahir daripada keluh resah dan denyut nadi perjuangan mereka terutama di kawasan luar bandar,” tegasnya.

Baru-baru ini, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno bukanlah parti yang dilahirkan daripada perasaan benci, kekecewaan atau atas dasar menolak pemimpin.

Perdana menteri itu menambah, sebaliknya, Umno adalah parti suci yang dilahirkan di tangga istana besar di Johor dengan gema semangat nasionalisme untuk menolak penjajah dan bangkit daripada roh orang Melayu yang mahu membela martabat dan maruah.

"Umno tidak lahir di atas kebencian, Umno tidak lahir di atas kekecewaan, Umno tidak lahir kerana mahu menolak pemimpin lain.

"Kalau itulah jadi asas perjuangan kita, maka, apa-apa yang kita lakukan bukanlah bertunjangkan idealisme dalam perjuangan yang berpaksikan kepada sesuatu yang mulia dan suci.

"Tidak ada satu wadah perjuangan yang jelas, hanya sekadar marah, benci dan cita-cita peribadi yang tidak kesampaian maka perjuangan itu tidak bertahan lama," katanya semasa Mesyuarat Perwakilan Umno Jelebu dan Jamuan Rakyat Sehati Sejiwa di Jelebu.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, pihaknya juga yakin perasaan sayang Umno masih lagi ada kepada bekas-bekas pemimpin Umno yang disingkirkan daripada parti atas beberapa sebab pelanggaran disiplin.

“Setelah tersingkir daripada parti dan jawatan, kemungkinan ada di kalangan mereka ini berasa telah kehilangan arah untuk meneruskan perjuangan politik, sepertimana yang selama ini pernah mereka lakukan semasa bersama Umno,” jelasnya.

Sebagai alternatifnya kata beliau, kumpulan ini mengambil jalan pintas dengan menubuhkan parti politik baru yang kononnya untuk menggantikan Umno.

“Saya percaya, mereka yang menubuhkan parti baru itu masih lagi menjiwai perjuangan Umno dan mereka juga sedar parti baru yang ditubuhkan itu tidak akan ke mana sudahnya.

Kumpulan ini sebenarnya sedar bukan kerja mudah mengajak orang Melayu supaya memusuhi Umno dan orang Melayu juga bukannya senang termakan dengan hasutan politik kebencian yang sarat dengan perasaan dendam, tegasnya lagi.

Bagaimanapun, tegas Syed Ali, ini tidak bermakna penubuhan parti baru itu tidak memberi ancaman kepada Umno dan BN pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Dalam pada itu, Syed Ali turut menasihatkan pimpinan Umno supaya tidak terlalu ghairah menyerang parti berkenaan kerana pendaftarannya belum lagi diluluskan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Merujuk kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Ali berkata, pemimpin Umno tidak sewajarnya takut kepada bayang-bayang sendiri.

“Jika kita asyik menyerang parti itu, seolah-olah kita takut kepada benda yang tidak ada, ini akan memberikan persepsi negatif kepada masyarakat umum,” tegas beliau lagi.
- MK

No comments: