Saturday 23 July 2016

Hindu Sangam kunjungi Hadi

PETALING JAYA: Pertubuhan Hindu Sangam cawangan Terengganu semalam mengadakan kunjungan bertemu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Lidah rasmi PAS, Harakahdaily, melaporkan delegasi pemimpin Hindu Sangam itu diketuai pengerusinya Dr Bala Chandran Gopal Krisnan, penasihat Hindu Sangam Terengganu, George Kumar dan empat yang lain.
Bala Chandran juga merupakan ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, sayap bukan Islam dalam parti itu.
“Saya rasa cukup bertuah dan sangat gembira kerana pada hari ini dan pertama kalinya dari Hindu Sangam Terengganu datang bertemu dan berbincang secara langsung.
“Rombongan kami ini telah mendapat penjelasan pelbagai isu secara terus dari Tuan Guru kita sendiri,” kata Bala selepas pertemuan itu yang diadakan selepas kuliah mingguan disampaikan Hadi di Masjid Rusila.
Pertemuan itu antara lain membincangkan rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibentangkan Hadi Mei lepas bagi meminda Akta Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, dalam usaha kerajaan Kelantan pimpinan PAS membenarkan hukuman lebih berat dijatuhkan mahkamah syariah negeri itu.
Turut dibincangkan ialah hak bukan Islam, militan IS, dan pendakwah India, Dr Zakir Naik yang mencetuskan protes di kalangan beberapa pertubuhan Hindu baru-baru ini dalam siri lawatan ceramahnya di Malaysia.
Hadi berkata pertemuan seumpama itu sesuatu yang perlu diadakan selalu.
“Terima kasih kerana sudi datang berkunjung dan tidak menjadi masalah untuk kita sama-sama duduk berbincang, bertukar-tukar pandangan dengan berhujah,” katanya dipetik Harakahdaily.
Hindu Sangam yang ditubuhkan pada 1965 menggabungkan pelbagai kumpulan agama Hindu di Malaysia dan memperjuangkan isu berkait penganut agama itu.
- FMT

No comments: