Saturday 23 July 2016

Mengapa Uber ‘datang’ baru nak ingat kepentingan pengguna?

PETALING JAYA: Mengapa baru sekarang kerajaan mendahulukan pengguna, setelah berpuluh tahun pengangkutan awam teksi beroperasi tanpa transformasi bermakna.
Begitu soal pengasas syarikat Teksi Premium Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail menjawab kenyataan daripada Menteri Datuk Seri Nazri Aziz semalam sekiranya perkhidmatan Uber dan Grab diluluskan, ia kerana kerajaan mendengar kemahuan pengguna dan menjaga keutamaan mereka.
“Pasal apa Uber datang baru nak ingat kepentingan pengguna? Selama 30 hingga 40 tahun (sebelum ini) mengapa tak ingat kepentingan pengguna?” soalnya ketika dihubungi FMT.
Sebelum ini dilaporkan kerajaan mempunyai pegangan secara tak langsung dalam Uber sejak 2015 melalui pelaburan Khazanah Nasional Berhad.
Uber, dan Grab, secara bersama membentuk dua perkhidmatan perkongsian kenderaan yang penting di negara ini ketika ini.
Kedua perkhidmatan itu merupakan inisiatif swasta.
Menurut Shamsubahrin, keuntungan teksi merosot lantaran kesukaran teksi bersaing dengan tawaran alternatif itu.
“Pasal apa transformasi pengangkutan awam tidak dijalankan dengan segara? Ada sebilangan besar pemandu teksi yang turut tidak berpuas hati dengan sikap pemandu teksi yang tidak mengikut akta dan sistem yang disediakan kerajaan dan mereka masih menunggu,” katanya.
Pada 18 Jun lalu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan cadangan transformasi industri teksi sudah diserahkan kepada kerajaan – hampir tiga minggu selepas tunjuk perasaan pemandu teksi di ibu negara 29 Mac.
Dalam kenyataan media bulan lepas, SPAD berkata butiran lengkap program transformasi akan diumumkan dalam masa terdekat, susulan kelulusan Jemaah Menteri yang dijangkakan bulan ini.
“Datuk Seri Nazri harus tekankan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar industri teksi ini diperbaiki sebaik mungkin sebelum Uber diluluskan,” kata Shamsubahrin.
“Kelulusan untuk Uber boleh ditangguhkan sebab transformasi yang tak berjalan memberi kesan kepada kementerian Nazri (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan) yang mempromosikan pelancongan.”
Semalam, pengusaha teksi itu berkata 95% pemandu teksi akan mengundi pembangkang dalam pilihan raya akan datang sekiranya Uber dan Grab diluluskan, dan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dihapuskan.
Nazri menepis ‘ugutan’ itu kerana kerajaan tidak boleh nafikan hak pengguna “yang jumlahnya berjuta lebih daripada pemandu teksi”.
Lesen vokasional PSV diwajibkan buat pemandu teksi bagi membolehkan membawa penumpang berbayar. Singapura merancang mewajibkan pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan mengambil PSV.
Di Malaysia, pemandu Uber dan Grab yang ditemui media berkata akan berhenti menjayakan perkhidmatan itu sekiranya PSV diwajibkan keatas mereka.
- FMT

No comments: