Friday 22 July 2016

SPRM sahkan kerjasama dengan FBI siasat 1MDB

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FB) dalam siasatan 1MDB di Amerika Syarikat.
“SPRM mengesahkan menjalinkan kerjasama dengan FBI. Ini kerana kedua-dua pihak telah mempunyai hubungan kerjasama yang lama sebelum ini,” kata SPRM dalam satu kenyataan.
SPRM berkata kerjasama tertumpu kepada kemungkinan penyelewengan dan pengubahan wang haram oleh seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB.
Ketua Unit Rasuah Antarabangsa FBI Darryl Wegner menyifatkan SPRM menunjukkan “keberanian mengagumkan” dalam siasatan 1MDB yang diketuai skuad rasuah awam antarabangsa FBI.
Makalah ‘International Corruption: U.S. Seeks to Recover $1 Billion in Largest Kleptocracy Case to Date’ yang disiarkan di laman rasmi FBI 20 Julai lalu memetik Wegner sebagai berkata, FBI bersama-sama rakan antarabangsa mereka akan terus memburu individu-individu yang terlibat dan membongkar rasuah yang dilakukan.
“Tindakan hari ini menghantar mesej kepada pegawai asing yang korup. Kami bekerja keras untuk memastikan Amerika Syarikat tidak menjadi syurga kepada jenayah seumpama ini,” katanya seperti dipetik.
Artikel Wall Street Journal yang disiarkan 21 Julai lalu turut menyebut tentang peranan SPRM, dan menambah “tidak jelas sama ada bantuan mereka diberi kuasa oleh kerajaan Malaysia”.
Isu 1MDB kembali menjadi hangat apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada dua hari lalu memfailkan saman bagi menyita aset-aset yang terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB.
Sebelum ini, SPRM mengetuai pasukan petugas khas yang turut dianggotai polis dan Bank Negara Malaysia bagi menyiasat 1MDB dan anak syarikatnya SRC International, namun ia dibubarkan pada 5 Ogos 2015 atas nasihat Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Siasatan itu menjadi perhatian ramai apabila polis mengambil keterangan daripada dua pegawai yang terlibat dalam siasatan terhadap SRC Interntional, serta pemindahan Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik Rozaid Yaakob daripada mengendalikan kes berprofil tinggi.
- FMT

No comments: