Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau laman menyebarkan bahan propaganda kumpulan militan IS, kata Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.
Beliau mengulas surat berita berbahasa Melayu terbitan IS yang diberi nama “Al-Fatihin” (Penakluk), yang boleh dimuat turun dalam format PDF.
Beliau memaklumkan siasatan PDRM setakat ini mengesyaki sebuah laman Facebook yang memuat naik risalah itu beroperasi di Filipina dan diuruskan warga Indonesia dan Malaysia di sana.
“Namun kita masih belum dapat benar-benar sahkan perkara ini memandangkan masih dalam siasatan,” katanya kepada FMT.
Al-Fatihin edisi bulan Ramadan lalu memuatkan 20 halaman yang turut mengandungi infografik propaganda kejayaan IS sepanjang dua bulan sebelumnya.
Muka depannya pula menyiarkan petikan pemimpin IS Abu Hamza al-Muhajir (juga dikenali sebagai Abu Ayyub al-Masri) yang menggesa pembaca menangkap dan membunuh “orang musyrikin di mana saja mereka dijumpai”.
Fuzi menegaskan PDRM sama sekali tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan IS dan akan mencari ke akar umbi mana-mana pihak yang terlibat, termasuk menyebarkan bahan propagandanya.
“Kita sentiasa buat pemantauan. Walaupun memang ada, laman FB yang menyebarkan bahan IS dalam BM tidak banyak,” katanya namun mengakui agak sukar membanteras penyebaran bahan-bahan propaganda yang disebarkan melalui laman sosial.
“PDRM akan tulis surat dan minta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM) untuk menyekat laman-laman ini. Kita ada banyak saluran (dalam menangani IS),” katanya lagi.
- SUMBER
No comments:
Post a Comment