Tuesday, 19 July 2016

Banjir kilat P. Pinang: Salah sistem saliran atau hujan lebat?


BALIK PULAU: Beberapa pihak kini menuding jari mencari kesalahan siapa yang bertanggungjawab menyebabkan kejadian banjir kilat yang melanda Pulau Pinang semalam.
Adun Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah daripada Barisan Nasional (BN) mengaitkan banjir di Teluk Bahang itu dengan sistem saliran yang ketinggalan zaman, manakala kerajaan negeri DAP menegaskan banjir itu berpunca daripada hujan lebat dan air pasang.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, hujan lebat itu menyebabkan banjir di kebanyakan tempat, termasuk di Teluk Bahang, Teluk Kumbar, beberapa kawasan di Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
“Hujan lebat sebanyak 250mm sehari di Teluk Bahang menyebabkan banjir dan berdasarkan siasatan Jabatan Pengairan dan Saliran, banjir di lapangan terbang disebabkan masalah kedalaman,” kata Lim ketika melawat mangsa banjir di Teluk Bahang.
Lim berkata, beliau difahamkan kira-kira 65mm hujan dicatatkan semalam di Teluk Kumbar yang mengakibatkan banyak kawasan dilanda banjir.
Shah Headan pula berkata, pejabatnya pernah meminta sistem saliran di kawasan itu dinaik taraf pada 2013, namun sehingga kini kerajaan negeri gagal berbuat demikian.
“Kami meminta kerajaan negeri menjalankan naik taraf yang diperlukan pada 2013, malangnya sehingga kini tiada apa-apa yang dilakukan sekaligus menyebabkan banjir pada 2014 dan semalam yang terburuk bagi penduduk di sana,” katanya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas dan projek Teluk Kumbar terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.
Ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Teluk Kumbar, Lim berkata, kerajaan negeri meluluskan kira-kira RM12 juta untuk projek tebatan banjir.
“Kita perlu mengikut prosedur operasi standard sebelum projek itu boleh disiapkan dan saya menggesa penduduk bersabar dengan situasi ini,” katanya.
- Bernama

No comments: