Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak pernah terlepas dari pelbagai cacian dan gelaran sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri.
Beliau pernah dilabel dengan pelbagai gelaran seperti Firaun, Mahazalim, diktator dan bermacam-macam nama yang menjatuhkan maruah dan martabat dirinya, namun tidak pernah ambil sebarang tindakan.
“Saya tidak ambil apa-apa tindakan terhadap mereka, saya tidak mengancam mereka, saya tidak meminta polis menyoal mereka.
“Saya tidak menangkap, menahan dan caj mereka kerana menjadi seorang pengganas, mensabotaj sistem perbankan Malaysia dan mensabotaj ekonomi Malaysia,” kata Dr Mahathir dalam muat naik terbaru di blognya, hari ini.
Bekas Perdana Menteri yang memerintah negara selama 22 tahun itu turut menyatakan, sepanjang keberadaanya, beliau tidak pernah sekalipun mengancam untuk mengambil tindakan saman malah langsung tidak pernah menyaman sesiapa.
Sebelum ini, Mahathir telah disiasat oleh pihak polis atas jenayah fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan ekoran mengeluarkan kenyataan yang menyamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan diktator Uganda, Idi Amin.
Idi Amin adalah Presiden Uganda yang memerintah dari tahun 1971 hingga 1979. Beliau dikenali kerana pencabulan hak asasi manusia, rasuah dan pembunuhan.
“Saya pernah dan sememangnya seorang ahli politik. Disumpah, dipanggil nama, dipertuduhkan rasuah atau nepotisme, diminta meletak jawatan, potret-potret saya diroboh.
“Semua ini sememangnya sudah dijangkakan. Jika tidak boleh tahan dengan ini, maka jangan jadi ahli politik,” jelas Mahathir.
Bukan itu sahaja, Dr Mahathir mendakwa polis ketika ini digunakan untuk menahan dan memberi tekanan kepada masyarakat.
Menurutnya, polis sepatutnya digunakan untuk melindungi masyarakat dan rakyat daripada kesalahan jenayah.
“Di Malaysia nampaknya kita percaya ‘parti saya, bos-bos saya yang selalunya betul, tetapi parti saya, bos-bos saya betul atau salah’
“Kita melihat satu perbuatan yang salah yang dilakukan atas nama profesionalisme dan disiplin. Pihak yang sepatutnya menjadi pelindung kini sudah menjadi penindas,” katanya.
- SUMBER
No comments:
Post a Comment