Monday 25 July 2016

C4 harap ketua SPRM beri ‘hadiah bersara’

Cynthia-Gabriel-Tan-Sri-Abu-Kassim-Mohamed
PETALING JAYA: Tan Sri Abu Kassim Mohamed digesa mendedahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas 1MDB sebelum beliau menamatkan perkhidmatannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM 1 Ogos ini.

Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, menyifatkan tindakan sedemikian akan menjadi hadiah terbaik kepada rakyat Malaysia serta penghormatan terhadap perubahan positif SPRM di bawah pimpinan Abu Kassim.

C4 mengulas kata-kata pujian kepada SPRM oleh Biro Penyiasat Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, yang mendedahkan suruhanjaya itu turut memberi kerjasama dalam merungkai skandal 1MDB.

Hasil penyiasatan AS itu, Jabatan Kehakiman negara itu memfailkan saman Rabu lalu bagi menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) dalam kes rasuah terbesar FBI membabitkan entiti luar.

Saman yang difailkan di Los Angeles itu bertujuan merampas aset yang didapati terbabit dalam konspirasi antarabangsa mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB, dan turut menamakan anak tiri perdana menteri, Riza Aziz, yang dituduh menggunakan dana 1MDB sebanyak RM256 juta dalam penerbitan filem “The Wolf of Wall Street”.

Cynthia berkata langkah AS itu merupakan permulaan terhadap tindakan lanjut negara itu bagi membanteras aktiviti rasuah rentas sempadan, pengubahan wang haram dan jenayah kewangan.

Sehubungan itu, C4 menyeru Peguam Negara Malaysia memenuhi permintaan bagi bantuan guaman bersama (MLA) oleh negara yang menyiasat 1MDB demi kepentingan rakyat negara ini.

Ia turut menggesa SPRM membuka siasatan baru ke atas AS$681 juta yang dimasukkan dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa disumbangkan keluarga diraja Arab Saudi.

“Kami juga menyeru PDRM memaklumkan rakyat Malaysia berhubung status siasatan mereka,” katanya.

- FMT

No comments: