Friday 22 July 2016

Dividen 12% LTAT tepis dakwaan liar Rafizi – Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri  Tun Hussien hari ini mengumumkan dividen 12 peratus kepada pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Katanya, pengumuman dividen itu menangkis dakwaan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berhubung pembayaran gratuiti kepada pencarum LTAT.
“LTAT bagi tahun 2015 telah memperoleh pendapat sebanyak RM766.8 juta dan hari ini saya ingin mengisytiharkan pemberian dividen dan bonus khas sebanyak 12 peratus kepada pencarum LTAT.
“Bermakna desas-desus atau tuduhan tak berasas berhubung kedudukan LTAT sebelum ini merupakan tuduhan liar yang hari ini dapat kita jawab dengan mengisytiharkan dividen ini,” katanya dalam sidang media majlis ramah mesra LTAT bersama menteri pertahan di Hotel Royale Chulan.
April lalu Rafizi mendakwa dokumen rasmi mendedahkan tunggakan 1MDB kepada anak syarikat LTAT, Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia (PPHM), yang setakat September tahun lalu mencecah RM396.41 juta.
Tunggakan itu, dakwanya, memberi kesan langsung keatas aliran tunai LTAT sehingga menyebabkan kelewatan membayar gratuiti kepada veteran-veteran askar tak berpencen.
Bagaimanapun, Pengerusi LTAT Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor tampil memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi.
Mohd Anwar berkata tindakan Rafizi itu fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.
LTAT mencatatkan jumlah pendapatan (belum diaudit) sebanyak RM766.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.
Sehubungan itu, ahli-ahli yang layak akan menerima bayaran dividen dan bonus berjumlah RM693.8 juta pada kadar 12%.
Bayaran dividen dan bonus ini meliputi dividen 6% dan bonus khas sebanyak 6% dalam bentuk unit amanah saham untuk ahli yang aktif.
- FMT

No comments: