Friday 22 July 2016

MoF tak buat urusniaga dengan ahli perniagaan didakwa tipu 1MDB

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan tidak membuat sebarang urusniaga dengan ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkata kementerian hanya berurusan dengan 1MDB dan syarikat pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).
“Tetapi apa yang dilaporkan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat ini adalah diluar bidang kuasa saya untuk komen.
“Saya nak tumpukan bagaimana nak selesaikan isu (1MDB) ke hadapan. Yang ke belakang ini kalau boleh biar pihak berkuasa yang menentukan,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbukanya hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan mengesahkan kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dalam siasatan 1MDB.
Menurut kenyataan itu, kerjasama tertumpu kepada kemungkinan penyelewengan dan pengubahan wang haram oleh seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB.
Mengulas saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), Johari berkata seeloknya proses tersebut berjalan tanpa gangguan.
Katanya, tanggungjawabnya kini memastikan pada masa hadapan tidak ada lagi isu-isu berbangkit melibatkan 1MDB.
Beliau dalam masa yang sama turut ditanya mengenai tindakan pembangkang yang menggesa Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Itu saya ingat pembangkang semua boleh cakap tapi pada akhirnya rakyat yang buat keputusan,” katanya.
- FMT

No comments: