Thursday 14 July 2016

Dr M, pemimpin pembangkang bermesyuarat di Yayasan Perdana


PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan perbincangan tertutup bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan beberapa bekas pemimpin Umno di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Mesyuarat yang bermula jam 3 petang itu diadakan di sebalik desas-desus Dr Mahathir akan menubuhkan parti politik baharu.
Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang dilihat memasuki perkarangan yayasan itu bermula jam 2.30 petang.
Turut dilihat ialah bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal, timbalan pengerusi DAP Teresa Kok, bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa, bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim, ketua Pemuda Sosialis DAP Anthony Loke, naib presiden PKR Tian Chua dan Shamsul Iskandar Akin, bekas ahli Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin, dan pemimpin Amanah iaitu Anuar Tahir, Khalid Samad dan Datuk Mujahid Yusuf Rawa.
Tokoh lain yang turut kelihatan termasuk pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, bekas pengerusi Datuk Ambiga Sreenevasan dan bekas ketua pengarang Kumpulan NSTP, Datuk A Kadir Jasin.
Bagaimanapun, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak hadir kerana dikhabarkan berada di luar negara.
Sebelum ini, Khairuddin membayangkan parti politik baharu akan ditubuhkan diketuai Dr Mahathir.
Katanya, parti baharu itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Dr Mahathir sebelum ini melancarkan Deklarasi Rakyat mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatan Perdana Menteri.
Kumpulan tersebut berjaya mengumpul lebih 1.2 juta tandatangan daripada rakyat menolak kempimpinan Najib untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.
- FMT

No comments: