Monday, 18 July 2016

Kami juga boleh tuduh ‘pihak sana’ cipta senarai itu – Rahman Dahlan


KUALA LUMPUR: Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno menafikan partinya dalang di sebalik penyebaran senarai nama pimpinan parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menjawab dakwaan Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pihaknya juga boleh menuduh senarai itu sengaja dihasilkan dan disebarkan oleh ‘pihak sana’ untuk mewujudkan keresahan dalam Umno.
“Kita tidak ada masa untuk buat kerja sebarkan senarai seperti ini, tidak produktif,” katanya ketika dihubungi FMT.
“Senarai juga ada nama mereka yang baru berhenti dari Jemaah Menteri. Jadi macam mana?” soalnya, bagi menunjukkan sebahagian individu yang dinamakan dalam senarai itu merupakan penyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini, Zainuddin mendakwa senarai nama tokoh yang didakwa menganggotai saf kepimpinan Parti Melayu Baru Bersatu sengaja disebarkan Umno supaya tokoh terbabit tampil membuat penafian, seterusnya menggambarkan parti baharu Mahathir itu tidak mendapat sokongan.
Senarai itu menamakan antara lain bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patai, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Wahid Omar, bekas menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.
Gani, Rafidah dan Ibrahim Ali tampil menafikan pembabitan dengan parti yang bakal ditubuhkan itu. Menurut senarai yang tersebar di media sosial, ia bakal diterajui bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.
“Nak buat parti, buat sahajalah. Bukankah elok kalau tubuh sahaja parti dan umumkan barisan pemimpinnya (secara rasmi),” ujar Rahman.
- FMT

No comments: