Tuesday 12 July 2016

Langkah Keselamatan Perlu Dipertingkat Untuk Cegah Kebocoran Maklumat - Salleh


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada Isnin menggesa agar langkah keselamatan dipertingkatkan bagi mencegah kebocoran maklumat yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata adalah sesuatu yang membimbangkan apabila maklumat sulit bukan sahaja dijual, malah sesetengahnya dipinda atau dipalsukan bagi mensensasikan sesuatu isu.

"Persoalan utamanya ialah apa lagi dan apakah maklumat lain yang lebih merosakkan yang telah dijual tanpa kita sedari.

"Ini membahayakan keselamatan negara dan samalah dengan perbuatan mengkhianati negara," katanya dalam catatan bertajuk "It is time to plug the breach of security" melalui laman blognya sskeruak.blogspot.my.

Salleh berkata tidak dapat dinafikan bahawa serangan selama 20 bulan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui blog asing dan tempatan serta pertubuhan berita bagi memainkan isu 1MDB sebagai pemangkin terhadap cubaan menyingkirkan Najib, melibatkan jumlah wang yang besar.

Ini, kata beliau, menimbulkan persoalan tentang khabar angin sejak setahun lepas mengenai pembiayaan sebanyak RM2 bilion yang disediakan bagi mengadakan Kempen Anti-Najib (ANC) dan kira-kira RM600 juta yang diperuntukkan bagi membiayai perang melalui media dan secara dalam talian.

Untuk rekod, tuduhan ini tidak pernah dinafikan, katanya.

Menurut Salleh, portal berita Sarawak Report lebih daripada sekali bercakap besar dan mendakwa kononnya ia memiliki dokumen 'RAHSIA' yang diperoleh daripada sumber dalaman serta mereka yang rapat dengan siasatan, dokumen berkenaan adalah tulen dan asli, manakala sumber dalaman yang dimaksudkan itu pula terdiri daripada orang kanan dan bertauliah.

Beliau berkata sesetengah daripada apa yang didakwa sebagai maklumat yang bocor itu kini dibuktikan sebagai palsu, termasuk apabila The Wall Street Journal mengaku bahawa wang sebanyak RM2.6 bilion yang diperkatakan itu berkemungkinan datang daripada penderma Arab.

"Ini amat memalukan (bekas Perdana Menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad) dan ANC. Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya menerima hakikat bahawa kempen beliau untuk mengaibkan Najib telah gagal dan apa yang beliau peroleh hanyalah menghancurkan kerjaya politik kesemua orang di sekelilingnya.

"Mahathir perlu menyalahkan diri sendiri tentang apa yang berlaku terhadap anaknya (bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri) Mukhriz," kata Salleh.

Beliau berkata Dr Mahathir memandang rendah terhadap Najib dan menyangka bahawa menyerang beliau dengan menggunakan isu 1MDB akan membawa kepada penyingkirannya.

"Apa yang (Dr) Mahathir terlepas pandang, atau mungkin beliau menyangka beliau akan terkecuali daripadanya, ialah UMNO mempunyai tradisi tertentu dan tidak ada jalan pintas untuk berkuasa, termasuk untuk anak perdana menteri atau bekas perdana menteri.

"(Dr) Mahathir menyangka beliau lebih besar daripada Umno, tetapi sekarang beliau menyedari bahawa parti sentiasa lebih besar daripada individu.

"Dan akibat daripada itu, (Dr) Mahathir memusnahkan kerjaya politik Mukhriz," katanya.

-- BERNAMA

No comments: