Monday, 11 July 2016

Surendran: Mengapa larang banduan bersentuhan dengan keluarga?



PKR hari ini mempersoalkan peraturan Jabatan Penjara yang melarang banduan bersentuhan dan mengadakan komunikasi secara terus dengan ahli keluarga yang melawat mereka di penjara.
“Menafikan sentuhan fizikal di antara banduan dan keluarga mereka merupakan sesuatu yang tidak wajar, keras dan menyebabkan trauma psikologi.
“Ia mendatangkan kesan buruk terhadap kedua-dua banduan dan keluarga mereka, terutama golongan muda,” kata Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran.
Surendran, yang juga seorang peguam, berkata larangan sedemikian tidak mempunyai asas perundangan.
Katanya, Akta Penjara 1995 dan Peraturan Penjara 2000 juga tidak melarang hubungan terus semasa lawatan penjara.
Surendran mengulas program Pautan Ramadan di Penjara Kajang pada pagi Hari Raya pertama Rabu lalu, yang membenarkan seramai 50 banduan terpilih mendekatkan diri dengan ahli keluarga termasuk bersentuhan dan makan bersama.
“Salah seorang banduan dilaporkan tidak memeluk ibunya yang berkerusi roda selama enam tahun!” katanya.
Ahli keluarga biasanya hanya dibenarkan berkomunikasi dengan banduan melalui telefon dan dipisahkan dengan dinding kaca.
Surendran berkata Malaysia perlu mencontohi sistem penjara di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia yang membenarkan hubungan terus ahli keluarga yang melawat banduan.
Beliau berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu membenarkan hubungan terus semasa lawatan penjara demi keadilan dan peri kemanusiaan.
- SUMBER

No comments: