Friday, 15 July 2016

Tubuh Parti Baharu, Dr Mahathir Rendahkan Standardnya


NILAI, 15 Julai -- Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu dilihat hanya merendahkan status dan standardnya sebagai seorang negarawan.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tindakan bekas perdana menteri itu untuk menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya sebelum ini, hanya akan menyebabkan pencapaian dan sumbangannya akan terpadam dalam sejarah negara.

"Beliau bukan orang biasa, beliau merupakan bekas pemimpin negara dan pemimpin UMNO berpuluh tahun dan seorang yang telah mendapat pengiktirafan di pentas dunia sebagai pemimpin unggul dalam negara ini.

"(Hasrat menubuhkan parti itu) perbuatan beliau itu telah turunkan standard beliau dalam masyarakat," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai pengumuman Dr Mahathir semalam mengenai penubuhan parti baharu yang turut dianggotai DAP, PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Terdahulu, beliau merasmikan Sukan India Malaysia (Sukim) kali ketiga di Universiti Sains Islam Malaysia yang disertai 1,500 atlet dari seluruh negara.

Di KUALA LUMPUR, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penubuhan parti baharu itu tidak akan menggugat keutuhan BN.

"Rakyat sedar bahawa pembangunan yang ada di negara ini adalah hasil usaha kerajaan BN bagi mensejahterakan rakyat.

"UMNO sudah diterima rakyat sejak dahulu lagi sebagai parti yang mampu membangunkan negara bersama parti-parti komponen dalam BN, kini terserah kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap parti baharu tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Salam Aidilfitri Felcra Berhad hari ini.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata BN tetap tidak mengambil mudah dengan penubuhan parti itu.

"Kami akan terus menggerakkan jentera BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata tindakan Dr Mahathir itu boleh memecah-belahkan lagi orang Melayu.

"(Kini kita ada) Melayu UMNO, Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu Amanah, jika Tun Mahathir tubuh lagi satu parti, maka Melayu akan berpecah menjadi lima. Melayu yang kini majoriti akan menjadi Melayu yang minoriti.

"Tun Mahathir sedar mengenai perkara itu, bagaimanapun dalam politik segalanya menghalalkan cara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pihak veteran juga tidak melihat kemungkinan PAS akan bekerjasama dengan Dr Mahathir kerana PAS sudahpun membuat perjanjian dengan rakan barunya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, PAS menyatakan penubuhan parti baharu itu tidak akan menggugat mereka, kata Ketua Pemudanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

"PAS sudah sedia kuat macam mana akan tergugat...kita telah mendapat sokongan padu daripada orang ramai cuma tinggal ingin tambah sokongan sahaja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya adakah PAS akan menyertai gabungan parti baharu itu, Nik Abduh berkata masih terlalu awal untuk PAS membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

"Kita alu-alukan penubuhan (parti itu) dan hubungan (antara PAS dan parti baharu) kita akan tengok selepas ini," katanya.

Terdahulu, Nik Abduh dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama kira-kira 500 orang berarak ke Kedutaan Myanmar di Malaysia untuk menghantar memorandum bantahan berhubung isu kekejaman terhadap etnik Rohingya.

-- BERNAMA

No comments: