Sunday 31 July 2016

Ahmad Said: Pecat Saya Dan Terengganu Akan Berlaku Parlimen Tergantung

KEMAMAN: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, beliau bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno berhubung nasibnya dalam parti tetapi juga memberi amaran mengenai kesan yang bakal dihadap parti di negeri itu.
Perkara itu dibangkitkan Ahmad Said yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal selepas beliau mendengar pada mesyuarat MT pada Jumaat lalu terdapat anggota yang menggesa MT supaya memecat beliau berikutan kelantangannya mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan juga mengemukakan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman semasa mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac lalu.
"Saya akan terima keputusan mereka dan jika ramai yang tidak mahu saya dalam parti maka saya akan berundur. Ia semua bergantung kepada keadaan.
"Bagaimanapun, jika mereka pecat saya daripada parti, mereka (Umno) mungkin perlu berdepan dengan akibatnya kerana keputusan ini akan memberi kesan kepada Umno di negeri ini. Akan berlaku parlimen tergantung dengan memecat saya," katanya.
Pada masa ini, Barisan Nasional (BN) mempunyai 17 kerusi DUN, berbanding PAS dengan 14 kerusi dan satu oleh PKR.
"Jika mereka fikir mereka mahu meneruskan keputusan untuk pecat saya, mereka boleh melakukannya. Dan akan berlaku parlimen tergantung dan kemudian menteri besar perlu menghadap Sultan sama ada meletakkan jawatan atau membubarkannya," katanya kepada pemberita.
Ahmad Said, yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman berkata, keutamaan beliau pada masa ini adalah memberi tumpuan dengan berkhidmat untuk rakyat.
- mStar

Mungkin Wujud Kumpulan Kecil Pembunuh Upahan - Noor Rashid

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan wujud kumpulan kecil pembunuh upahan dalam beberapa kejadian tembak yang berlaku kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, mereka kebiasaannya bergerak dalam kumpulan kecil dan antaranya merupakan anggota kumpulan kongsi gelap.
"Ya, saya tidak menafikan beberapa individu tertentu yang mengambil upah menembak orang yang kebanyakannya dilakukan oleh warga tempatan sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis penutup pertandingan Kejohanan Menembak Persekutuan Antarabangsa (IPSC) Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM 2016 di Lapang Sasar, Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am, Cheras di sini, Ahad.
Noor Rashid berkata, pihaknya ketika ini sedang mengumpul maklumat untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kegiatan seperti itu.
Mengenai kes terbaharu melibatkan seorang lelaki maut ditembak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Ibukota di Setapak, Rabu lepas, beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menjejaki suspek.
"PDRM telah melancarkan satu siasatan yang rapi dan merancang satu tindakan khas berhubung kes berkenaan.
"Kami yakin suspek akan dikenal pasti dalam masa terdekat dan biarlah polis selesaikan siasatan dahulu, jika ada perkembangan kami akan maklumkan," katanya.
Dalam kejadian 3.35 petang itu, mangsa yang berumur 43 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord maut terkena akibat 10 das tembakan. 
- Bernama

Tun M Belum Kemuka Permohonan Tubuh Parti Baharu - Mukhriz

DATUK MUKHRIZ Tun Dr. Mahathir, antara bakal calon jawatan Ketua Pemuda Umno, mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diberikan penghormatan sebagai pemimpin agung apabila beliau bersara kelak.
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad belum mengemukakan permohonan penubuhan parti politik baharu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), kata bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.  
Anak kepada Dr Mahathir itu berkata “banyak perkara perlu fikirkan dulu" sebelum menghantar borang kepada ROS. 
"Kita tunggu dan lihat dulu. Kalau dipersetujui rakan-rakan lain, Tun Mahathir akan menghantar sendiri borang itu kepada pihak ROS dalam jangka masa terdekat.
"Sehubungan itu, kami meminta ROS memberi pertimbangan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana anjuran Kelab Che Det Malaysia. 
Sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau akan menubuhkan satu parti politik baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang. 
Ditanya mengenai perbincangan dengan parti pembangkang lain dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO), Mukhriz berkata, ‘respons baik dan semua bersemangat’ menyokong pendaftaran parti baharu itu. 
- Bernama

Siri Jelajah Pembangkang Tak Beri Kesan Pada Kerajaan - Johari

Johari Abdul Ghani
KUALA LUMPUR: Siri jelajah pembangkang bagi menerangkan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan memberi kesan kepada kerajaan, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, ini kerana isu berkenaan 1MDB bukanlah satu perkara yang baharu, malah sudah mula dipermainkan pihak pembangkang sejak tiga tahun lepas. 
Katanya, keutamaan sepatutnya diberikan dalam usaha mencari jalan penyelesaian mengenai isu berkenaan supaya perkara yang sama tidak berulang kembali.
"Kita tidak boleh halang pihak tertentu untuk mengadakan program jelajah ke seluruh negara, perkara ini (jelajah) sudah pun berlaku sekian lama, kebanyakan isu yang diperkatakan adalah isu lama dan tiada perkara baharu yang hendak diterangkan kepada rakyat.
"Lebih baik mereka berusaha mencari jalan penyelesaian, itu lebih penting daripada berterusan 365 hari bercerita mengenai 1MDB seperti tiada isu lain," katanya. 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri dan Sambutan Bulan Kebangsaan anjuran Majlis Belia Kawasan Titiwangsa di sini, Ahad.
Pada Sabtu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR dan Pakatan akan mengadakan sesi penerangan ke seluruh negara yang akan disertai rakan-rakan mereka di dalam kem pembangkang, termasuk rakan-rakan baharu yang dulunya berada dalam Umno.
Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata, adalah lebih baik sekiranya isu yang berbangkit mengenai 1MDB diserahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan penyiasatan. 
"Kerajaan tidak pernah menyembunyikan sebarang perkara mengenai 1MDB, jika kita memang mahu menyembunyikan sesuatu sudah pasti kita tidak akan melantik Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara untuk menyiasat isu ini," katanya. 
- Bernama

Muhyiddin Sertai Jelajah PKR Manfaatkan Pembangkang - Azmin

SHAH ALAM: Langkah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai jelajah PKR di seluruh negara bagi memberi penjelasan mengenai kontroversi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan perkembangan baik buat Pembangkang, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
"Kita sedang memperluaskan pangkalan kita dengan mengambil pendirian awal untuk menjadi inklusif dalam pendekatan kita.
"Adalah menjadi tugas kita sebagai pemimpin politik dalam PKR, Pakatan Harapan dan masyarakat umum termasuk pasukan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama bagi membentuk sebuah pasukan yang hebat untuk menerangkan isu-isu kepada rakyat dengan cara lebih mudah, terutama di kawasan luar bandar," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata, bergantung kepada Muhyiddin sekiranya beliau mahu menyertai mana-mana parti.
"Apa yang lebih penting adalah kita bekerjasama dengan semua parti, individu dan masyarakat umum bahawa kita komited dalam agenda reformasi.
"Tidak kira sama ada beliau (Muhyiddin) tidak bukan milik mana-mana parti buat masa ini," tambah Azmin.
- mStar

Parti Baharu Tun M Beri Umno, BN Saingan Untuk Berjaya

KUALA LUMPUR: Parti baharu yang akan ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi Umno dan Barisan Nasional (BN) persaingan untuk menjadi lebih berjaya, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu yang menyambut baik langkah Dr Mahathir berkata negara seperti Jepun dan Jerman cemerlang kerana mereka terpaksa berjuang untuk terus hidup manakala empayar seperti Britain semakin menghilang akibat kemusnahan dan bersikap puas hati.

"Kadang-kadang persaingan adalah baik apabila ia membuat anda sedar, melainkan jika anda bersemangat dan bekerja lebih keras anda menghadapi risiko kekalahan.

"Jadi mungkin Mahathir sedang menolong Umno dan Barisan Nasional dengan menawarkan kami beberapa persaingan kerana persaingan sentiasa baik untuk mengecapi kejayaan," katanya dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.com.


Bendahari Umno yang baru dilantik itu bagaimanapun berkata, keputusan Dr Mahathir membuktikan pendiriannya dengan jelas bahawa beliau tidak berusaha untuk menyelamatkan Umno, sebaliknya memusnahkan parti berkenaan.

"Dr Mahathir akhirnya mengakui bahawa satu-satunya cara untuk mengubah kerajaan adalah melalui pilihan raya umum. Sudah pastinya, Mahathir tidak akan mengakui bahawa beliau sedang berusaha untuk menukar kerajaan.

"Beliau mendakwa, beliau hanya berusaha untuk membuang Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak untuk menyelamatkan Umno, Barisan Nasional dan Malaysia.

"Adalah pelik, Seseorang mahu menyelamatkan parti yang didakwa masih menyayangi parti berkenaan dengan berusaha untuk memusnahkannya. Ia seperti mengatakan bahawa anda mahu menyelamatkan manusia dengan memusnahkan dunia," kata Salleh.

- mStar

Jangan Termakan Kata Bekas Pemimpin Mahu Cetus Porak Peranda - Azalina

KOTA TINGGI: Masyarakat hari ini diingatkan supaya tidak termakan dengan kata-kata bekas pemimpin yang mahu mewujudkan porak peranda dengan membawa elemen asing ke negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata masyarakat harus mempunyai kebijaksanaan untuk menilai apa sahaja tuduhan dan gerakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa meletakkan keutamaan kepada rakyat.

"Seperti dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) contohnya, saya tidak faham kenapa ada antara mereka yang dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menolak keputusan PAC secara menyeluruh. Mereka cakap seolah-olah kononnya kenyataan orang luar seperti Peguam Negara Amerika Syarikat lebih bernas daripada Pengerusi PAC sendiri.

"Jadi, saya lihat pada keadaan lebih positif dan nampak sangat mereka ini sudah tidak ada pilihan dan terdesak pergi ke luar negara. Kepada ahli PAC, kalau tidak yakin keputusan PAC, eloklah sekiranya letak jawatan dari PAC," katanya.

Azalina berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang, di sini, malam tadi yang dihadiri lebih 15,000 penduduk sekitar kawasan Parlimen Pengerang.

Dalam pada itu, beliau yang juga Anggota Parlimen Pengerang turut berharap supaya masyarakat kawasan terbabit tidak mudah termakan dengan fitnah dan andaian membabitkan isu di kawasan Pengerang.

Katanya, pihak yang menabur pelbagai cerita boleh bercakap mengenai apa sahaja, namun, mereka bukannya orang tempatan yang mengetahui tentang keadaan di kawasan tersebut.
"Tiada rakyat di kawasan Pengerang yang tersisih daripada menerima bantuan.
"Di sini juga (Pengerang), kita ada tambahan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).Sebab itu, kerjasama kerajaan negeri dan pusat adalah satu kerjasama yang diutamakan.


"Masyarakat juga perlu berfikiran terbuka kerana banyak isu yang berlaku di kawasan Pengerang berjaya diselesaikan dengan kerjasama wakil rakyat, Menteri Besar Johor dan Perdana Menteri. Dengan kerjasama erat inilah yang memberikan kebolehan untuk kita meneruskan tugas kerja demi kesejahteran rakyat," katanya.
- mStar

Harga Petrol Kekal, Diesel Naik 10 Sen

PETALING JAYA: Harga bahan api bagi petrol RON95 dan RON97 kekal tidak berubah pada Ogos.
Bagaimanapun, harga diesel akan dinaikkan sebanyak 10 sen.
Diesel berharga dari RM1.60 seliter kepada RM1.70 seliter.
Harga RON97 adalah RM2.10 seliter manakala RON95 pada RM1.75 seliter.
Harga bahan api itu disahkan oleh Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petron, Datuk Alang Zari Ishak ketika dihubungi The Star.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memutuskan untuk menetapkan harga petrol dan diesel berdasarkan menerusi sistem apungan terurus sejak 1 Disember 2014 berikutan pemansuhan subsidi bahan api.
- mStar

Friday 29 July 2016

DS Salleh Said Keruak Bendahari UMNO Malaysia Yang Baharu



Datuk Seri Salleh Said Keruak yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Multimedia telah dilantik sebagai Bendahari UMNO yang baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Ahmad Husni yang meletakkan jawatan awal Jun lalu – Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak

BN

Bukan satu tapi tiga pegawai SPRM ucap selamat tinggal

 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan satu majlis perpisahan untuk Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan dua timbalannya petang ini.

Abu Kassim secara rasmi mengumumkan persaraannya selepas 32 tahun perkhidmatan.
Kain rentang yang diletakkan di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini juga mengesahkan khabar angin pemberhentian Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali.

Difahamkan Shukri juga telah bersara daripada perkhidmatan.
Mustafar, sementara itu, dipercayai ditawarkan jawatan baru sebagai ketua pengarah agensi persekutuan.

Pada kira-kira 14.45 petang Mustafar dilihat meninggalkan bangunan SPRM.
Beliau sebelum ini dilaporkan memberitahu Astro Awani bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa jam 3 petang.

- MK

Aziz Bari: 'Pemuda UMNO angkuh tidak beri kerjasama kepada polis'

Walaupun telah dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung laporan polis yang mendakwa terdapat konspirasi menggulingkan Perdana Menteri, Pemuda UMNO masih lagi belum memberi kerjasama yang diperlukan.

Menurut Pakar Perlembagaan, Dr Aziz Bari, ini membuktikan pemuda UMNO angkuh kerana sengaja melengahkan siasatan tersebut.

>>>>>  Klik Link  http://www.kinitv.com/video/36796O74

Benarkah orang Kelantan dan Johor terlalu kenegerian?

 Kelantan-Johor
KUALA LUMPUR: Kita kerap melihat pelekat kereta dengan perkataan atau emblem melambangkan negeri asal pemandu itu, dan simbol Kelantan dan Johor antara paling ketara.

Malah, di Lembah Klang, ramai yang berasal dari kedua-dua negeri ini masih memilih plat pendaftaran kenderaan bermula dengan huruf “D” untuk Kelantan dan “J” untuk Johor, bagi melambangkan asal usul mereka.

Tetapi apa yang ditampilkan di bahagian belakang kenderaan hanya elemen kecil daripada apa yang ditakrifkan sebagai semangat kenegerian.

Ia lebih menonjol di stadium bola, dirasai di pusat pengajian tinggi di kalangan mahasiswa, dan diserlahkan dengan kewujudan pelbagai “persatuan anak negeri” di perantauan.

Faktor TMJ?

Kajian rambang FMT di media sosial mendapati mereka yang berasal dari Johor dan Kelantan lebih menonjol dalam sentimen kenegerian.

Apa tidaknya, Johor semakin menarik minat media tempatan berikutan kelantangan putera mahkotanya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam menyuarakan pendapat tentang isu semasa.

Awal Jun lalu, Tunku Ismail yang dikenali dengan singkatan TMJ menyenaraikan sebab ramai tidak menyukai Johor.

“Jangan salahkan Johor. Anda boleh beramai-ramai berjumpa dengan YAB perdana menteri di Putrajaya untuk mengusulkan satu deklarasi kepada beliau untuk mengeluarkan Johor dari Malaysia,” katanya.

Semangat kenegerian yang menebal di kalangan orang Johor memang “sedia ada dalam diri”, menurut seorang anak Johor ditemui FMT.

“Menjadi anak Johor adalah satu kebanggaan. Sekiranya ada pihak yang mengusik negeri ini, kami sedia mempertahankannya,” kata Setiausaha Persatuan Anak Melayu Bersatu Johor (PENENTU), Zainal Abdul Majid.

“Semangat itu wujud secara semula jadi. Identiti negeri kami memang terkenal dalam banyak segi seperti budaya, adat dan makanan yang memang tiada tandingan. Kami sedia membantu anak Johor lain sekiranya mereka dalam kesusahan,” katanya penuh bangga.

‘Cecah budu bersama’

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) Azman Awang, tidak salah memiliki sifat cintakan negeri asalkan tidak melampau.

“Kita juga hormat dengan pendirian rakyat negeri lain. Siapa yang tidak cintakan tempat kelahiran sendiri? Bak kata pepatah tempat jatuh lagi dikenang apatah lagi negeri sendiri.

“Istimewa mengenai orang Kelantan, kami bukan saja mahu dilihat waktu senang bersama malah ketika waktu susah juga. Saya bagi contoh macam makan budu. Orang Kelantan sanggup cicah budu dalam pinggan guna tangan ramai-ramai. Sikit pun kami tak rasa geli. Ini baru dikatakan perpaduan,” katanya sambil ketawa.

PERAKAN mempunyai 45 cawangan di seluruh Malaysia, dengan jumlah keahlian sekurang-kurangnya 100 orang di setiap cawangan.

Pensyarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Mansor Mohd Noor berkata sifat berpuak-puak rakyat Kelantan dan Johor adalah fitrah manusia.

Katanya, rakyat di negeri itu masih mengekalkan pembentukan awal identiti berdasarkan sejarah sosial mereka.

Orang Kelantan, katanya mudah membina hubungan sesama mereka apabila di perantauan.

“Semangat kenegerian rakyat Kelantan dan Johor mungkin lain dengan negeri lain, sebagai contoh Kelantan kebanyakan mereka Melayu, sebab itu kita tengok rakyat Kelantan hubungan mereka mudah terbina sebab majoriti mereka satu kelompok saja.”

Bahana politik

Bagaimanapun, beliau tidak setuju sifat sedemikian membawa kepada perpecahan antara rakyat negeri lain.

“Walaupun orang Kelantan dan Johor dilihat lebih mengutamakan rakan senegerinya, dia tidak sesekali mengabaikan rakyat negeri lain,” kata Mansor.

Yang perlu dielak, katanya, ialah unsur politik.

“Kita risau jangan dipolitikkan, kita ini rakyat Malaysia di bawah satu unit politik, nak berpuak boleh tetapi jangan sampai membakar semangat sejarah kita hingga merasakan kita lebih hebat, lebih mulia, jangan sampai terlalu mengangkat bangsa sendiri sehingga ingin keluar dari Malaysia.

“Itu akan menimbulkan masalah, jangan sampai membelakangkan negara,” katanya.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Ramlah Adam berpendapat, sikap berpuak yang dibawa rakyat Kelantan bukannya asabiyyah (semangat kebangsaan sempit), sebaliknya lebih kepada ingin memperkenalkan identiti mereka.

“Orang Kelantan bila berjumpa sesama mereka dia akan terus cakap Kelantan, dibuat macam itu sebab mereka nak memperkenalkan identiti mereka dan lebih kepada kenegerian, tidak ada pula kita dengar orang Kelantan bergaduh, bermusuh, berperang, sikap itu bukan asabiyyah, sebab asabiyyah ini wujud sewaktu zaman jahiliah,” kata Ramlah.

“Orang Kelantan memang mementingkan sesama dia dari dulu, itu memang tak boleh nafi,” katanya.

- FMT

Pendekatan Baharu Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Insolvensi Untuk Rakyat

 
PUTRAJAYA: Pendekatan baharu bagi Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia akan diperkenalkan bagi memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada rakyat, kata Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam kenyataannya sempena setahun dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina berkata pendekatan baharu itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Azalina berkata dalam tempoh setahun itu, beliau diberi amanah sebagai menteri untuk menjaga hal ehwal Parlimen, bertanggungjawab bagi Biro Tatanegara (BTN) dan baru-baru ini diberi kepercayaan mengawal selia hal ehwal perundangan.

"Alhamdulillah, bersama-sama dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, proses reformasi Parlimen telah berjalan dan sedang direalisasikan. Begitu juga dengan penjenamaan semula BTN yang semakin rancak dijayakan oleh warga kerja BTN," katanya.

Beliau berkata antara inisiatif yang akan dijalankan adalah penubuhan Mahkamah Khas Siber dan meneliti semula beberapa undang-undang berkaitan dengan siber.

"Saya akan terus menggalas tanggungjawab dan bersama-sama dengan YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam menjayakan proses transformasi negara bagi mencapai status negara maju melangkaui 2020," katanya.

--Bernama

MT juga harap Pemuda Umno buktikan 'komplot' 3 Tan Sri

 
Pemuda Umno perlu bersedia dengan bukti kukuh apabila membuat laporan polis mendakwa tiga individu berprofil tinggi terlibat dalam konspirasi menjatuhkan perdana menteri.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata bukti tersebut perlu agar dakwaan tersebut tidak dianggap pertuduhan tidak baik ke atas mereka.

“Kalau Pemuda Umno buat laporan begitu, mereka mesti bersedia dengan bukti-bukti yang kukuh supaya ia tidak dianggap membuat pertuduhan yang tidak baik,’ kata Tajuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Wanita Umno di Dewan Merdeka, PWTC hari ini.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun sebelum ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mereka didakwa terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dengan menyalurkan maklumat dalaman kepada agensi asing, termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Tajuddin, yang juga menteri Pertanian dan Asas Tani, percaya apa pun dakwaan dilemparkan, kepada ketiga-tiga individu itu mereka pasti akan bersiap sedia dengan peguam masing-masing.

“Saya juga percaya individu berkenaan akan pertahankan diri. Mereka akan guna pakar-pakar guaman.

“Saya tak akan kata betul atau tak betul,” kata anggota Parlimen Pasir Salak itu.

Saleh: Biar polis siasat

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saleh Said Keruak menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“IGP (ketua polis negara) telah buat kenyataan dan saya tak ingin tokok tambah.

“Biarlah pihak polis buat siasatan kerana seperti mana yang telah dijelaskan IGP ia akan memanggil dulu naib ketua Pemuda Umno, jadi biarlah polis ambil tindakan susulan ke atas beliau,” kata Salleh.

Pemimpin nombor satu pasukan keselamatan Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata beliau dimaklumkan polis akan merakam kenyataan Khairul Azwan hari ini.

Terdahulu Najib yang juga presiden Umno segak berbaju Melayu ungu menghadiri majlis rumah terbuka itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Majlis yang berlangsung sekitar jam 10.00 pagi itu dihadiri pelbagai lapisan masyarakat serta barisan kepimpinan kerajaan.

Majlis juga turut diserikan dengan persembahan artis tempatan bagi memeriahkan suasana.

- MK

Najib, Rosmah Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Wanita Umno

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (lima, kiri) bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor (lima, kanan) bergambar kenangan bersama kepimpinan tertinggi Wanita Umno pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Wanita UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri), Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (empat, kanan).


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di perkarangan Dewan Merdeka pada kira-kira 11.30 pagi disambut Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, yang sejurus itu merakam foto bersama barisan kepimpinan sayap parti.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Setiausaha Agong Umno yang juga Menteri
Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Ketua Puteri yang juga Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menteri-menteri besar termasuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan ahli-ahli majlis tertinggi Umno turut memeriahkan majlis itu.

Kehadiran Najib disambut meriah oleh ribuan hadirin yang teruja merakamkan 'selfie' dengan Presiden Umno itu.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan Tabung Pejuang Nadi Rakyat kepada 15 veteran Wanita Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tabung pergerakan sayap Wanita itu, yang dilancarkan semasa perhimpunan sayap parti pada 9 Disember tahun lepas, bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan veteran Wanita Umno.

Najib dan isteri meluangkan masa lebih sejam jam pada majlis itu yang menyediakan 12 gerai juadah seperti nasi beriani, roti canai dan sate selain dihiburkan dengan pelbagai persembahan dan nyanyian.

Sementara itu, Shahrizat ketika ditemui pemberita berkata setiap penerima sumbangan tabung itu diberi RM2,000.

"Sumbangan diberi kepada pejuang Wanita dari kalangan Umno dan BN, yang memerlukan selain sebagai tanda terima kasih kerana jasa mereka kepada parti," katanya.

-- Bernama

Wahid Omar pengerusi baharu PNB

 najib_wahid-omar_pnb_600
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2016.

Wahid, seorang akauntan bertauliah, pernah mengetuai Maybank, selepas menerajui transformasi Telekom Malaysia.

Beliau juga mengetuai proses pemulihan UEM Group.

Semasa di Jabatan Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menyelia agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perangkaan, Ekuinas, Talent Corporation, Teraju dan Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera.

Perdana menteri dalam kenyataan yang sama turut mengucapkan terima kasih kepada Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid atas sumbangan besar beliau mengemudi PNB sejak 1996 sehingga menjadi salah sebuah institusi pelaburan terkemuka di negara ini.

“Di bawah kepimpinan beliau, PNB mencapai pelbagai kejayaan dalam melaksanakan mandat kerajaan bagi meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Bumiputera khususnya, dan menyumbang ke arah pertumbuhan dan kemakmuran negara.

“Saya berharap Tun Ahmad Sarji akan terus berkongsi pengalaman dan menyumbang kepada pembangunan negara,” kata Najib.

- Bernama

Juruaudit baru 1MDB akan diumum tak lama lagi

Juruaudit baru untuk 1MDB akan diumumkan tidak lama lagi, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, walaupun beliau enggan mengulas mengenai soalan lain berkaitan 1MDB.

"Saya tidak mahu respon kepada itu, terima kasih," katanya ketika ditanya mengenai 1MDB pada sidang media di majlis penutup bagi program 'Bahasa Inggeris 1Malaysia' di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar itu dan ditanya mengenai pengumuman 1MDB bahawa penyata kewangan 2013 dan 2014 tidak lagi boleh dipercayai, beliau hanya berkata: "Tiada komen".

Bagaimanapun ketika ditanya bila juruaudit yang baru bagi 1MDB akan diumumkan selepas khidmat juruaudit sekarang, Deloitte Malaysia dihentikan, beliau berkata: "Kami akan mengumumkan tidak lama lagi."

Dengan notis Deloitte untuk menarik diri, ia menjadikannya firma audit ketiga yang menamatkan khidmat dengan 1MDB sejak penubuhannya pada 2009.

Irwan Serigar juga mengetuai lembaga pengarah baru 1MDB.

Pada Selasa lalu, 1MDB berkata, penyata kewangan yang diaudit bagi tahun 2013 dan 2014 tidak lagi boleh digunapakai sehingga dakwaan yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) ditentukan di mahkamah.

Ini kemudian diulangi oleh Deloitte, yang berkata bahawa audit 1MDB bagi tahun itu akan memberi kesan dalam tindakan undang-undang DOJ.

DOJ Rabu lalu memfailkan dua tindakan undang-undang untuk merampas lebih AS $ 1 bilion aset yang mana dikatakan telah dibeli menggunakan dana daripada 1MDB.

- MK

Kenapa bas 63 saman masih di atas jalan?

 
Merujuk kepada isu kemalangan sebuah bas dengan 10 buah kenderaan di Terowong Menora baru-baru ini, ramai mempersoalkan mengapa syarikat bas yang memiliki 63 saman tertunggak atas pelbagai kesalahan masih dibenarkan beroperasi?

Apabila berlakunya kemalangan dan video rempuhan bas menjadi viral, banyak pihak membuka mata dan menyedari bahawa syarikat bas yang mempunyai saman terkumpul tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi untuk orang awam.

Walaupun perkhidmatannya untuk memudahkan perjalanan orang awam, namun ia juga boleh menjadi ancaman nyawa untuk pengguna jika syarikat bas mahupun pemandu bas mempunyai senarai saman yang terlampau banyak.
Pertindihan saman antara pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) juga tidak mustahil kerana ketiga-tiga agensi ini mengamalkan sistem saman yang berlainan.

Hal ini akan menimbulkan kesukaran kepada pihak syarikat bas, pemandu bas malah pihak berkuasa juga sukar untuk mengenal pasti jumlah saman terkumpul.
Cadangan menteri pengangkutan supaya menyelaraskan sistem saman antara ketiga-tiga agensi ini amat dialu-alukan kerana ia memudahkan pengguna untuk menyemak saman yang terkumpul dalam satu sistem sahaja.
Selain isu kemalangan bas yang selalu diberikan penekanan dalam media massa, bagaimana pula dengan isu kemalangan kenderaan berat yang lain seperti treler dan lori?

Apakah tindakan yang telah diambil terhadap pemandu treler yang merempuh beberapa buah kenderaan sehingga menyebabkan kematian seorang ibu dan anak pada bulan lepas?

Treler tersebut dikhabarkan terbabas daripada lorong kanan sehingga merempuh beberapa buah kenderaan yang tersangkut dalam kesesakan trafik.

Adakah ia perkara biasa untuk sebuah treler berada di lorong paling kanan?
Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa berita berhubung dengan kemalangan treler yang berpunca daripada masalah brek.

Kemalangan ini menjadi serius apabila ia melibatkan nyawa-nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.
Justeru itu, apakah tindakan yang telah diambil terhadap pemandu dan pihak syarikat treler berkenaan?

Masalah brek merupakan perkara yang perlu dititikberatkan apatah lagi jika ia melibatkan kenderaan berat seperti treler dan bas yang boleh menggugat tahap keselamatan jalan raya.
 
Brek kenderaan berat

Mengapakah permasalahan brek ini masih belum menemui jalan penyelesaian bagi mengurangkan kemalangan yang turut membabitkan nyawa orang awam?

Apakah sistem penyelenggaraan kenderaan berat dipandang enteng sehingga menyebabkan permasalahan brek merupakan punca utama kemalangan jalan raya?

Adakah terdapat pihak-pihak yang bertindak sebagai badan pemantauan dalam mengawasi tahap penyelenggaraan kenderaan berat?

Adakah pihak syarikat kenderaan berat patuh dengan tempoh penyelenggaraan yang telah ditetapkan?

Jika ya, mengapa masih banyak kemalangan berpunca daripada masalah brek?

Siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya kemalangan berpunca daripada kecuaian sistem teknikal kenderaan itu sendiri apatah lagi jika ia melibatkan sebuah kenderaan berat seperti bas, treler, dan lori?
Saya pernah mengutarakan persoalan ini:

“Jika masalah brek pada kenderaan berat masih tidak dibendung lagi, tidak mustahil untuk berlakunya lagi siri rempuhan daripada kenderaan berat ini. Secara tidak langsung, kita sebagai pengguna jalan raya seolah-olah memperjudikan nyawa masing-masing terutama ketika bertemu dengan kenderaan berat di atas jalan raya.”

Dan selepas beberapa hari artikel ini dikeluarkan, berlaku lagi siri rempuhan yang seterusnya di Terowong Menara ketika orang ramai sedang berpusu-pusu pulang ke bandar selepas menyambut perayaan Aidilfitri.

Dengan kadar kekerapan kemalangan akibat masalah brek yang semakin tinggi, perkara ini jelas terbukti bahawa pihak-pihak yang berkewajipan perlu membuka mata dan mencari jalan penyelesaian bagi perkara ini.
Apabila kita hanya tunggu terhantuk baru nak tengadah, ia hanyalah perbuatan yang sia-sia sahaja kerana nasi yang sudah menjadi bubur.
Selain itu, jika diperhatikan terdapat nombor hotline Spad pada kenderaan berat seperti treler dan lori.

Apakah fungsi nombor hotline Spad di situ kerana pada kebiasaannya jika pemandu memandu melebihi had laju, pengadu sudah pasti akan menghubungi pihak JPJ untuk membuat laporan selanjutnya.

Perkara ini amat mengelirukan pengguna kerana kelihatan seperti terdapat pertindihan bidang kuasa antara pihak JPJ dengan Spad.

Saya ingin mencadangkan pihak agensi pengangkutan supaya menubuhkan satu medium aduan sahaja untuk memudahkan pengguna membuat aduan dan juga memudahkan pihak JPJ, PDRM, dan SPAD dalam mengakses data aduan pengguna.
Sistem aduan berbeza

Dengan sistem aduan yang wujud pada masa kini amat mengelirukan pengguna kerana pihak JPJ dan SPAD mempunyai sistem aduan yang berbeza.

Sebagai contoh jika pengadu ingin membuat aduan mengenai kesalahan pemandu treler atau lori, adakah pengguna perlu membuat aduan kepada JPJ atau Spad?
Sistem saman dan juga sistem aduan perlu diselaraskan untuk memudahkan pengguna mahupun pihak berkuasa untuk mengakses sistem yang sama.

Perkara ini boleh mengelakkan pertindihan saman dan aduan yang sama.
Akhir kata, pihak-pihak yang berkewajipan perlu membuat sesuatu dalam mengurangkan kemalangan yang berpunca daripada masalah brek terutama yang melibatkan kenderaan berat.

Sanggupkah kita melihat nyawa-nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah untuk menjadi mangsa kemalangan yang seterusnya?

Jangan biarkan pengguna jalan raya yang lain mati katak hanya disebabkan masalah teknikal kenderaan berat!
Pihak-pihak yang tertentu perlu bertanggungjawab di atas penyelenggaraan masalah teknikal brek kenderaan berat kerana telah banyak nyawa orang awam melayang kerana masalah mereka!

NUR ASYIKIN AMINUDDIN
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users).

Akta MKN: Ada yang kurang jelas, ada yang bimbang


Walaupun Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 akan berkuat kuasa tidak lama lagi, namun masih ada yang tidak tahu, kurang jelas serta kurang pendedahan tentang akta yang antaranya akan memberi kuasa mengisytihar darurat kepada Majlis Keselamatan Negara yang diketuai perdana menteri.

"Saya tak tahu (tentang Akta MKN). Sebab saya rasa tak ada kena mengena dengan saya kot," kata Kamal Afiq Mustapa Kamal, 28, kepada Malaysiakini.

Namun, bagi pihak yang pernah mendengar mengenai kewujudan akta berkenaan, ada yang kurang setuju undang-undang tersebut dilaksanakan.

Bagi Zulfazli Mansor, 31, beliau dia tidak mengetahui secara lanjut mengenai akta berkenaan kerana mendakwa ia kurang didedahkan di media.

Bagaimanapun, katanya, akta tersebut mempunyai baik dan buruk sekiranya ia dikuatkuasakan.

"Saya tak tahu sangat mengenai akta ini sebab saya rasa tak banyak media tulis mengenai benda ini.

"Tapi saya rasa akta ini ada baik dan buruknya. Ia bergantung kepada isu contohnya kalau isu pengganas, ok kalau guna akta ini. Tapi kalau hal lain, saya tak berapa pasti.

"Sebab saya takut juga kalau tiba-tiba saya ditangkap tanpa diberikan peluang untuk diadili. Bagi saya akta ini 50-50. Ada baik dan buruk," kata Zulfazli.

Bagi Ismadi Alias, 45, pula beliau kurang 'jelas' dengan undang-undang berkenaan. Jelas Ismadi, apa yang lebih dibimbanginya ialah isu kos sara hidup yang kini semakin meningkat dan membebankan.

"Tahu (mengenai akta MKN) macam itu sajalah. Lebih lanjut dan sejauh mana pelaksanaannya saya kurang jelas.

"(Sama ada) bimbang (dengan akta MKN) itu susah nak cakap, sebab kita tak nampak lagi apa fungsi akta itu. Cuma saya lebih memikirkan soal kos sara hidup hari ini yang menjadi beban rakyat," katanya.

Seorang pekerja swasta, Mohamad Khir Mohamad, 58, berkata sebagai rakyat dia ingin mendapatkan penjelasan terperinci berhubung undang-undang yang diluluskan di Parlimen pada Disember tahun lalu itu.

"Susah nak cakap sebab ini soal kuasa, ia perlukan penjelasan terperinci sebab saya pun baru dengar tentang perkara ini,"katanya.

Sidi Yusof, 27, pula memberitahu bahawa beliau hanya tahu serba sedikit mengenai akta berkenaan.
Namun, apa yang menjadi kebimbangannya ialah sekiranya undang-undang itu bakal menjadi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika pesalah ditahan tanpa dibicarakan.

"Saya tahu sikit, dia macam ISA. Kita bimbang dengan akta MKN ini sebab bagi saya, boleh jadi akan disalah guna sebab ia tak berikan penghakiman sewajarnya.

"Saya rasa perlu kaji lebih lanjut baru laksanakannya," ujarnya.

Sementara itu, bagi Abdullah Bakar, 67, akta yang bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan untuk menjaga keselamatan rakyat negara ini adalah amat diperlukan.

Malah, katanya, akta itu juga perlu di negara ini bagi mengelak ada pihak melakukan perkara yang tidak diingini dengan sesuka hati seperti yang berlaku di negara jiran sebelum ini di mana rakyatnya mengadakan demonstrasi besar-besaran di Bangkok.

"Saya rasa akta ini ok, bagus ada. Kalau tak nanti masing-masing buat sesuka hati macam apa yang berlaku di Thailand,"kata Abdullah yang merupakan seorang pesara.

Akta MKN diluluskan di Parlimen pada 3 Disember tahun lalu dengan undi suara majoriti, tanpa sebarang pindaan.

Bagaimanapun, ia mendapat bantahan keras daripada wakil rakyat pembangkang serta beberapa NGO.

Antara yang menjadi kebimbangan ialah rang undang-undang itu dilihat akan menghakis kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.

Rang undang-undang itu antara lain, memberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebagai pengerusi majlis MKN, kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai "zon keselamatan" dengan hanya kelulusan anggota majlis itu.

Di bawah zon keselamatan, pasukan keselamatan akan dibenarkan untuk membuat tangkapan, mengawal pergerakan, menahan atau memindah suspek, menyita dan menggeledah, merampas atau memusnahkan harta serta mengetepikan inkues dikemukakan pihak berkaitan.

Tindakan mereka hanya boleh dicabar jika mahkamah memutuskan ia dilakukan dengan "niat jahat".

Bagi pengkritik pula, rang undang-undang itu juga dilihat mencerobohi kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan keadaan darurat. Mereka juga khuatir akta baru itu akan digunakan khususnya untuk bertindak tegas ke atas kumpulan atau individu yang tidak bersependapat dengan kerajaan.

Tetapi, Najib berkata, 'penjaja ketakutan' bermotif politik sengaja menyalahtafsir undang-undang keselamatan baru itu.

Kata Najib, undang-undang berkenaan tidak sama dengan pengisytiharan darurat -seperti didakwa pengkritik- kerana masih berada di tangan Yang di-Pertuan Aging.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata Rang Undang-undang MKN tidak mempunyai tujuan politik atau untuk memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri.

Sebaliknya, beliau berkata rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat itu bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan dari segi menjaga keselamatan rakyat negara ini secara keseluruhan.

NGO anti-rasuah kesan persamaan pada 'surat hadiah'

 
Bahasa yang digunakan dalam 'surat hadiah' yang mengiringi karya seni kepada ahli perniagaan Jho Low dari sekutunya Eric Tan dan Tanore Finance Corporation seolah-olah mempunyai persamaan dengan surat yang dikatakan dari seorang putera Saudi yang menyumbang AS$375 juta kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika, ia menyediakan butiran mengenai apa yang termasuk dalam 'surat hadiah' itu, yang bertarikh 2 Oktober 2013, yang menyatakan surat itu ditutup dengan kenyataan:

"Semua karya seni yang dihadiahkan kepada anda tidak harus dalam apa jua keadaan ditafsirkan sebagai satu tindakan rasuah kerana ini bertentangan dengan prinsip saya dan/atau syarikat dan saya secara peribadi tidak menggalakkan amalan-amalan tersebut dalam apa cara sekalipun.
"Hadiah-hadiah itu adalah semata-mata sebagai tanda penghargaan dan saya berharap hadiah kepada anda itu akan menggalakkan anda untuk meneruskan kerja baik anda di peringkat global."

Sementara itu, dalam surat yang dikatakan dari Putera Saud Abdulaziz Majid, bertarikh 1 November 2011, dan pertama kali didedahkan kepada umum oleh Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) pada bulan Mac tahun ini, ia juga membuat kesimpulan seperti berikut:

"Surat ini dikeluarkan sebagai tanda suci hati dan untuk penjelasan. Saya tidak mengharapkan untuk menerima sebarang manfaat peribadi sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada pemberian hadiah itu.

"Pemberian itu tidak perlu dalam apa jua keadaan sekalipun ditafsirkan sebagai satu tindakan rasuah kerana ini bertentangan dengan amalan Islam dan saya secara peribadi tidak menggalakkan amalan-amalan seperti itu dalam apa cara sekalipun.

"Ini adalah semata-mata tanda penghargaan peribadi dan saya berharap hadiah itu akan menggalakkan anda untuk meneruskan kerja baik anda untuk mempromosikan Islam di seluruh dunia."
 
Ketika dihubungi Malaysiakini, pengarah eksekkutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata persamaan dalam bahasa antara kedua-dua surat tersebut adalah "mengejutkan".

"(Ini) menimbulkan syak wasangka sama ada ia (surat-surat itu) mungkin telah dirangka dengan teliti oleh pihak ketiga yang terlibat dalam penipuan itu.

"Dalam mana-mana kes, peruntukan bahawa hadiah ini bukan rasuah, tidak membebaskan Low atau lain-lain benefisiari daripada mencuri wang rakyat dan dakwaan rasuah," katanya.

Peguam Syahredzan Johan memberitahu Malaysiakini bahawa pengisytiharan jenis ini dalam surat tersebut, tidak akan membantu dalam tuduhan rasuah.

Pada akhirnya, kata beliau, apa yang penting ialah sama ada sesuatu tindakan boleh ditafsirkan sebagai perbuatan rasuah, tidak kira ada pengisytiharan bahawa ia bukan rasuah.

- MK

Ketua Pesuruhjaya SPRM: Dzulkifli Ganti Abu Kassim

 
PETALING JAYA: Pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad bakal menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengumuman mengenainya dijangka dibuat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Jumaat.

Difahamkan pelantikan Dzulkifli yang juga Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara telah dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, Rabu.

Sumber memberitahu mStar Online, pelantikan Dzulkifli yang ditawarkan perkhidmatan secara kontrak itu berkuat kuasa pada 1 Ogos ini

Menurut sumber itu, peguam berusia awal 50an itu adalah antara calon yang dinamakan sejak beberapa bulan lalu untuk menggantikan Abu Kassim.

"Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim juga dikatakan calon berpotensi untuk mengisi jawatan berkenaan tetapi beliau telah menolak perkara itu.

"Jadi, seorang lagi calon adalah Datuk Dzulkifli dan tentunya beliau layak," kata sumber itu lagi.

Pada Khamis malam, berlangsungnya majlis perpisahan terakhir buat Abu Kassim yang dihadiri
pegawai tertinggi SPRM.

Seterusnya pada petang Jumaat pula, akan diadakan majlis paluan berundur buat Abu Kassim, juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang mengikut jejak ketuanya menamatkan perkhidmatan di suruhanjaya itu.
Abu Kassim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010 dan memohon untuk tidak meneruskan perkhidmatannya mulai 1 Ogos ini.

Selaras subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim, 55, untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis.

Bagaimanapun, Abu Kassim akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020.

Sepanjang tempoh Abu Kassim menerajui SPRM, suruhanjaya itu telah melaksanakan fungsi-fungsinya dengan cemerlang selaras dengan visinya untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi.

Di peringkat antarabangsa, Abu Kassim akan terus memegang jawatan sebagai Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities dan Ahli Board of Governance, International Anti-Corruption Academy, Austria sehingga tamat tempoh pelantikan tersebut.

- mStar

Umno Akan Lebih Berhati-Hati Dalam Setiap Isu - Annuar Musa

 
KUALA LUMPUR:  Umno akan lebih berhati-hati dalam meneliti setiap isu yang dibangkitkan khususnya dari negara-negara luar yang mempunyai rekod suka campur tangan dalam hal ehwal negara lain terutama negara Islam, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata komitmen terhadap dunia Islam, sikap berkecuali terhadap kuasa besar, keakraban dengan China dan Rusia, serta pendirian teguh dalam menyokong Palestin dan menolak Israel adalah antara punca negara ini sentiasa diintai negara tertentu.

Ini merupakan peluang yang ditunggu-tunggu mereka untuk masuk campur, lebih-lebih lagi dengan perkembangan terkini yang membabitkan rebutan kuasa di Laut China Selatan, katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu dalam menangani episod terbaru berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini melibatkan Amerika Syarikat, Annuar berkata ia perlu diteliti daripada semua sudut.

"Kita perlu meneliti 'the big picture' daripada semua sudut agar kita tidak terburu-buru dan terperangkap dalam usaha sengaja "mencari salah" dengan niat tertentu bagi membina persepsi dan prasangka buruk," katanya.

Beliau berkata Umno juga tidak akan sesekali memperkecilkan perlunya menjunjung amanah rakyat, menegakkan keadilan, menjunjung perlembagaan dan mengutamakan keluhuran undang-undang.

"Kita menyedari bahawa 1MDB adalah syarikat milik kerajaan dan dengan itu ia wajib 'accountable' kepada rakyat dan wajib tertakluk kepada segala peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Selain itu, dakwaan wang 1MDB 'hilang' atau 'dicuri' adalah sangat serius. Maka ia telah dan sedang disiasat mengikut undang-undang. Apakah benar ada kehilangan wang milik 1MDB? Berapa banyak dan siapa yang 'mencurinya"?..tetap disiasat," katanya.

Annuar berkata jika dakwaan itu benar, kerajaan akan menunaikan janji mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang terlibat menurut proses undang-undang

Menurutnya isu 1MDB yang kini menjadi isu perundangan tidak perlu dipolitikkan dan sehubungan itu semua pihak harus bersabar supaya proses undang-undang berjalan tanpa gangguan.

Dalam pada itu Annuar berkata Umno juga sedar wujudnya konspirasi diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita juga amat memahami keupayaan, pengalaman dan kepandaian Dr Mahathir dalam selok-belok konspirasi menewaskan musuh politiknya.

"Dendam yang berpunca daripada jatuh anaknya, Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz) daripada kedudukan tinggi dalam Umno, terlalu mendalam, menyebabkan Dr Mahathir bersedia lakukan apa saja untuk mencapai hasratnya," katanya.

Sehubungan itu Annuar berkata Umno dan saf pimpinannya harus berwaspadauntuk tidak terperangkap dalam 'grand design' Dr Mahathir untuk merampas kuasa dalam Umno dan kerajaan dengan apa cara sekalipun, walau secara tidak demokratik atau melibatkan kuasa luar.

"Kita percaya kaedah matlamat menghalalkan cara yang menjadi 'trademark' tindakan Dr Mahathir selama ini akan terus dipergunakannya," kata Annuar.

-Bernama

Pelajar sekolah rendah Cina junjung beg sekolah 10kg

 Deputy-Education-Minister-Chong-Sin-Woon
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan sedang mencari jalan untuk “meringankan beban” pelajar sekolah rendah Cina.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, sudah tiba masanya untuk mengkaji semula penggunaan terlalu banyak buku kerja di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, lapor The Star Online.

“Adakah pelajar dan sekolah benar-benar memerlukan buku kerja itu? Beg terlalu berat dan kanak-kanak hadapi kesukaran menjunjungnya.

“Anda tidak melihat perkara ini di sekolah-sekolah kebangsaan atau Tamil,” kata beliau.

Menurut laporan itu, pelajar sekolah rendah Cina, khususnya di bandar mempunyai purata tiga buku kerja setiap mata pelajaran dan beg sekolah mereka boleh mencapai berat sehingga 10 kilogram.

Dalam usaha untuk menangani perkara ini, kementerian telah mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Ketua Sekolah Kebangsaan.

Jelasnya lagi, kebergantungan terhadap buku kerja bertentangan dengan sukatan pelajaran KSSR (Standard Sekolah Rendah Kurikulum) yang sepatutnya menggunakan bahan bantu mengajar yang kreatif bagi menggalakkan pemikiran kritis dan inovasi dalam kalangan murid-murid.

Chong berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan simposium bertajuk “Revolusi Pengajaran” yang dianjurkan oleh Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC) yang mana turut membimcangkan kesan Program Dwi-Bahasa Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan Cina di sekolah-sekolah Cina.

- FMT

Honda tawar pampasan RM50 sehari lewat ganti beg udara

 honda-pecah
PETALING JAYA: Pemilik kereta Honda yang terlibat dalam panggilan semula penukaran beg udara boleh menuntut RM50 sebagai pampasan “kehilangan penggunaan kereta”.

Honda dalam satu kenyataan semalam meminta pemilik kereta yang terlibat mendaftarkan diri di www.productrecall.honda.com.my bagi menerima pampasan dalam tempoh 28 Julai 2016 hingga 31 Ogos 2016.

“Setibanya alat ganti beg udara pemandu hadapan Takata, pelanggan yang berdaftar dengan Honda Malaysia akan diberitahu dan dinasihatkan untuk menggantikan beg udara dalam dua hari,” katanya.

Honda Malaysia memanggil balik 147,894 unit model jenama itu bagi menggantikan peledak beg udara dengan semua kos penukaran ditanggung oleh pihaknya.

Bagaimanapun, kelewatan alat ganti menyebabkan ramai pengguna mengadu masih tidak mendapatkan temu janji dengan Honda bagi tujuan itu.

Model Honda yang terlibat ialah Accord (keluaran 2003 hingga 2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CRV (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011), dan Odyssey (2004-2008).

Panggilan itu dilakukan susulan beberapa kejadian beg udara meletup sehingga menyebabkan kematian.

Ini termasuk kematian seorang wanita di Kota Damansara pada 26 Jun lalu selepas serpihan besi terpelanting daripada beg udara di stereng keretanya, Honda City, terkena di dadanya.

Ia merupakan insiden keempat pemandu kereta maut melibatkan beg udara pecah atau rosak.

- FMT

Permintaan cermin kenderaan kalis peluru melonjak

KUALA LUMPUR: Kita sudah biasa melihat kenderaan bercermin gelap, dengan alasan alahan cahaya matahari dan privasi.

Tetapi baru-baru ini, ada alasan baharu yang lebih serius: kehilangan nyawa.

Bimbang dengan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api, permintaan terhadap cermin kenderaan kalis peluru semakin meningkat, menurut tinjauan FMT dengan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan itu di ibu kota.

IMS Motorsport Sdn Bhd merupakan syarikat pertama seumpamanya di negara ini, tetapi kejadian jenayah melibatkan senjata api kebelakangan ini membuka peluang baharu.

Kini, ia menerima panggilan tidak henti-henti daripada mereka yang mahu memastikan keselamatan diri di dalam kereta yang kalis peluru.

Kebanyakan daripada mereka berdepan ancaman nyawa, termasuk orang kenamaan dan ahli perniagaan terlibat dengan perkhidmatan wang berlesen.

Malah syarikat itu mengakui ada juga pelanggan yang kelihatan terlibat dengan kegiatan mencurigakan yang merasakan diri mereka terancam.

Dan kini, ia juga menarik minat agensi kerajaan.

“Sekarang kita sedang membuat kertas cadangan kepada mereka,” kata pengurusnya, Howe Chin, ditemui di pejabatnya.

Kos tinggi

Bagaimanapun, memasang cermin kalis peluru bukan calang-calang harganya, dan boleh mencecah sehingga RM200,000 sebuah kenderaan.

“Ramai yang hubungi bertanyakan cermin kalis peluru kami, tetapi sampai sekarang kebanyakan orang masih mempertimbangkannya kerana kos tinggi.

“Harganya bermula dari RM140,000 hingga RM200,000 mengikut jenis kereta, dan bahannya diimport dari Eropah dan mempunyai kualiti tinggi,” kata Chin.

Menurutnya, jenis cermin yang digunakan sukar dikesan si penyerang, kerana ia seakan cermin biasa tetapi sebenarnya kalis peluru.

“Itu satu lagi yang membezakan kualiti cermin kita dengan cermin lain,” katanya.

Cermin yang dipasang syarikat ini boleh manghalang semua jenis peluru pistol tangan daripada menembusi cermin kereta, malah turut menyediakan produk yang boleh menghalang tembakan mesin gan.

“Lagi tebal mereka minta, lagi mahal harganya,” katanya.

Seperti pengawal peribadi

Chin berkata menggunakan cermin kalis peluru di jalan raya umpama ditemani pegawal peribadi.

“Kalu kita pakai tiga pengawal peribadi yang jaga kita, tetapi kalau kereta kita tidak kalis peluru, macam mana?” tanya beliau.

“Kita dengan pengawal kita juga boleh mati, sebab kebanyakan yang mati semua kena tembak dalam kereta,” katanya.

Cermin kalis peluru mula diperkenalkan di negara ini pada April 2014 oleh syarikat IMS Magna Armoring, sebuah usaha sama antara syarikat Magna Security, IMS Motorsport dan Dupont Malaysia, dan kini dimilik sepenuhnya IMS Motorsport.

Cermin yang digunakan mendapat kelulusan penuh Insititut Penyelidikan Sains dan Teknologi Malaysia (STRIDE).

Insiden pembunuhan melibatkan senjata api semakin menjadi kebelakangan ini.

Menurut polis, kebanyakan kes melibatkan kumpulan samseng yang berlawanan sesama mereka.

Rabu lepas, warga kota dikejutkan dengan kejadian menembak mati seorang pemandu Honda Accord di khalayak ramai, ketika kenderaan itu berhenti di persimpangan lampu isyarat dekat Jalan Genting Klang.

Polis berkata sebanyak 18 das tembakan dilepaskan empat lelaki bermotorsikal, dalam kejadian 3.35 petang itu.

Ia merupakan kes tembakan di khalayak ramai yang kedua dalam masa sebulan. Pada 6 Julai, seorang ejen hartanah wanita berusia 32 tahun mati ditembak ketika beliau memandu di Taman OUG, Jalan Klang Lama, bersama anaknya berusia lapan tahun.

 - FMT

MCA mahu ahli bukan Cina? PAS ucap ‘selamat berjaya’

 Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan rancangan MCA yang mahu membuka pintu kepada ahli bukan Cina, dengan berkata ia seolah-olah menunjukkan parti itu tidak lagi yakin dengan rakannya, parti Melayu Umno dan parti India MIC.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan kebingungan siapa agaknya yang disasarkan parti eksklusif Cina yang menjadi rakan Umno dalam Barisan Nasional itu.

“Sebenarnya, siapakah yang MCA harapkan menjadi ‘rakan’? Mereka yang tidak menyokong Umno tapi menyokong MCA? Apakah ada golongan ini?” soal Tuan Ibrahim, yang berkata MCA sudah hilang keyakinan dengan Umno dan MIC.

“Dengan sokongan MCA pada isu 1MDB versi Umno, selamat berjaya,” tambah beliau dalam ulasan ringkas kepada FMT.

Semalam, Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon dipetik akhbar The Sun sebagai berkata parti itu pada dasarnya bersetuju dengan cadangan mengalu-alukan kaum lain sebagai “ahli bersekutu” dan perbincangan mengenai cadangan itu masih diteruskan dari semasa ke semasa.

“Kekal sebagai parti satu kaum akan menjadikan MCA lemah kerana hakikatnya Malaysia adalah negara majmuk yang mengamalkan pelbagai budaya, tetapi kami hanya cuba mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina,” kata Chong.

Jelasnya, cadangan itu akan dibangkitkan pada perhimpunan agung MCA akan datang dan sebaik sahaja diluluskan, perlembagaan akan dipinda untuk memudahkan pengambilan kaum lain sebagai “ahli bersekutu”.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim mengingatkan idea “ahli bersekutu” itu sudah lama diamalkan PAS apabila ia melancarkan Kelab Penyokong PAS, yang seterusnya dinaik taraf sebagai salah sebuah sayap parti Islam itu menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), khusus untuk bukan Islam.

“Satu masa dahulu, ramai yang mencemuh idea PAS menubuhkan DHPP. Hari ini MCA nampaknya mula menceduk idea yang sama,” kata beliau.

- FMT

BSN belanja RM130 juta ubah imej ‘Melayu’, ‘kampung’

 BSN
KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) berusaha mengubah persepsi bank itu sebagai sebuah bank “orang Melayu” dan “luar bandar”, dengan penjenamaan semula yang memakan belanja RM130 juta.

Penjenamaan semula tiga tahun itu turut mensasarkan lebih ramai pelanggan berbangsa Cina, dan beban itu ditanggung Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Korporat BSN, Frederick Siew, yang menyertai bank itu pada 2008.

Beliau memberitahu majalah perniagaan Marketing baru-baru ini bagaimana BSN dijauhi masyarakat Cina kerana imejnya yang terlalu berkait dengan masyarakat Melayu.

Dan persepsi sedemikian tidak terhad kepada bukan Melayu, malah orang Melayu sendiri mempunyai tanggapan berlainan mengenai BSN bergantung kepada kelas ekonomi mereka.

“Kami dilihat sebagai bank orang kampung. Ramai pelanggan Melayu yang kaya tidak mahu berurusan dengan bank ini atau mahu mengambil tahu produknya. Mereka lebih gemar berurusan dengan bank seperti CIMB dan Maybank,” katanya, yang menganggap mengubah persepsi itu satu cabaran pemasaran.

Siew dan pasukannya menyiasat faktor di sebalik persepsi itu, dan melancarkan kempen menarik minat masyarakat Cina dengan turut serta dalam program amal bagi mengumpul dana untuk sekolah Cina.

“Dahulu, bagi pelanggan Cina, BSN lebih berminat mengambil wang mereka. Tetapi dengan membantu mereka mengumpul dana, dengan perlahan kami mengubah persepsi tersebut,” katanya, yang memberitahu BSN menerima peningkatan 30% pelajar sekolah Cina sejak 2014 sehingga Mei lepas.

BSN, badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan dilancar dengan rasminya pada 1974 oleh Tun Abdul Razak, perdana menteri Malaysia yang kedua, dan mengambil alih tugas Pejabat POS sebagai bank simpanan.

Siew menjelaskan antara aspek penjenamaan semula BSN ialah penggunaan logo dan identiti baharu, dalam usaha menjauhkan diri daripada imej “kampung”.

Tetapi ruang premis yang cantik sahaja tidak akan menarik pelanggan ke bank itu.
Siew menyedarinya, dan berkata apa yang lebih penting ialah perubahan proses dalaman dan perkhidmatan yang memuaskan.

“Pelanggan tidak akan berurusan dengan bank kami kerana warna jenama kami. Dalam industri ini, semuanya mengenai perkhidmatan,” katanya kepada majalah pemasaran itu.

- FMT

Tidak ada undang-undang larang tanam ketum, kata KPN

 igp-ketum-1
PUTRAJAYA: Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang melarang penanaman mitragyna speciosa (ketum) tetapi pemilikan, pemprosesan dan pengedaran tumbuhan itu merupakan kesalahan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketum mempunyai bahan yang boleh memabukkan maka sebab itu mereka yang menggunakannya boleh didakwa dibawah Akta Racun 1952, jelasnya.

“Mana-mana orang yang mahu menggunakan ketum untuk nilai perubatannya, perlulah mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan,” tegas Khalid ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin Selasa lepas memohon kerajaan membenarkan pekebun kecil menanam ketum secara komersil sebagai sumber pendapatan tambahan.

Hari ini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan penjualan air ketum boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952 dan penanamannya secara besar-besaran perlu diteliti secara mendalam.

Beliau akan mengarahkan Ketua Pengarah Risda Mohd Najib A Samad untuk menyerahkan laporan berhubung perkara itu.

Ketum merupakan sejenis tumbuhan asli Asia Selatan, dan daunnya digunakan untuk perangsang atau pelali serta untuk merawat ketagihan candu. Ramai mendakwa ketum berkesan merawat artritis.

- FMT