Sunday 24 July 2016

Bersih digesa berdemonstrasi di stadium, elak kekecohan

PETALING JAYA: Pemuda Gerakan menggesa Bersih dan parti pembangkang lain mengambil tindakan bijak dengan mengadakan perhimpunan dalam stadium bagi mengelak kekecohan dan keganasan seperti yang pernah berlaku pada 2012.
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang berkata Bersih dan pembangkang tidak bertanggungjawab jika mengadakan demonstrasi di jalanan.
“Jangan membahayakan keselamatan umum dan mengganggu kehidupan orang Malaysia.
“Jika pembangkang berhasrat hendak merampas Putrajaya, lakukannya secara demokrasi menerusi pilihan raya umum, dan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan Bersih yang sinonim dengan kemeja T warna kuning itu dan parti pembangkang berkata mereka mempertimbangkan untuk mengadakan perhimpunan jalanan pada 30 Julai untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Ini susulan tuntutan sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion yang dikatakan diperoleh menggunakan duit dicuri daripada 1Malaysia Development Fund.
Keng Liang berkata Pemuda Gerakan mengiktiraf hak sesiapa saja untuk berhimpun secara aman seperti diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, tetapi menambah sebelum ini “Kita pernah melihat demonstrasi Bersih menyebabkan kekecohan dan keganasan pada 2012”.
“Harta awam dan persendirian musnah, begitu juga berlaku kesesakan lalu lintas yang menjejaskan mereka di kawasan sekitar,” katanya.
Perhimpunan Bersih 5 turut dicabar pemimpin gerakan Baju Merah yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos yang akan mengadakan himpunan balas terhadap sesiapa yang berdemonstrasi mendesak peletakan jawatan perdana menteri.
- FMT

No comments: