Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi amaran kepada Institut Pulau Pinang supaya tidak mencemarkan imej kerajaan negeri yang membiayai badan pemikir negeri itu.
Beliau berkata, ahli institut itu “perlu ingat anda bekerja untuk institut yang dibiayai kerajaan negeri”.
“Jangan lupa anda adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Pulau Pinang dan tindakan anda tidak wajar dilihat sebagai mencemar imej kerajaan negeri.
“Kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam perkara prinsip asas sedemikian kerana kami membiayai anda.”
Video ucapan ketua menteri yang dibuat pada pelancaran awal bangunan pejabat baru Institut Pulau Pinang pada 28 Jun lalu itu dimuat naik ke YouTube.
Guan Eng yang menghadapi dua tuduhan rasuah berkata, beliau mahu badan pemikir itu meletakkan kerajaan negeri pada kedudukan baik sambil menaikkan imejnya.
Setiausaha Agung DAP itu berkata: “Saya faham bila anda kata seseorang itu tidak sepatutnya menggigit tangan orang yang memberinya makan. Tetapi saya kira anda harus berinya peluang untuk menyalak (bersuara) sedikit,” katanya.
Kenyataan beliau menggunakan istilah ‘menggigit’ dan ‘menyalak’ dilihat sesetengah pihak sebagai menghina kumpulan penyelidik di institut itu.
Tetapi, Guan Eng sebagaimana dilaporkan portal berita menafikannya dan berkata penggunaan istilah ‘anjing’ tidak bermaksud menghina mereka.
Beliau berkata, dunia Barat menganggap anjing sebagai makhluk yang disayangi tetapi keadaan sebaliknya di negara Timur.
Institut Pulau Pinang adalah badan pemikir dasar awam berhubung soal sosio-ekonomi dan alam sekitar kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 1997.
– BERNAMA
No comments:
Post a Comment